X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Bomba sukarela jalankan tugas tanpa minta habuan

PBS Perak terlibat secara langsung membantu pasukan bomba dalam 464 kes kebakaran atau 14 peratus daripada kes kebakaran yang berlaku. - Foto Awani
A
A

IPOH - Ketika berlaku bencana, khususnya kebakaran, antara pasukan yang awal tiba dilokasi adalah Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Walaupun mereka hanya sukarelawan yang tidak dibayar sebarang elaun, mereka tetap bertungkus lumus seperti anggota bomba sepenuh masa, membantu ketika bencana.

Di Ipoh, PBS yang dikatakan paling aktif merupakan PBS Pekan Baru Ipoh.

Menurut Ketua Operasi PBS Pekan Baru Ipoh, Toh Ching Keat, pasukan berkenaan ditubuhkan pada tahun 2016 dengan 30 anggota dan kini, jumlah anggota meningkat lebih dua kali ganda kepada 70 orang.

"Persatuan Bomba Sukarela Pekan Baru bertubuh pada tahun 2016, pada masa itu ada lebih kurang anggota ada 30 orang. Setakat hari ini, jumlah ahli sudah tambah sampai 70 orang.

"Kesemua mereka ini mempunyai pekerjaan tetap di tempat lain tetapi mereka masih ada masa untuk membantu mereka yang memerlukan atau beri bantuan kepada pihak bomba," katanya.

Walaupun tidak menjanjikan sebarang habuan atau saguhati, PBS ini masih mampu menarik anak muda seperti Yeong Seng Hoong, 20, untuk menyertainya, sejak empat tahun lalu.

Jelasnya penglibatan golonga muda dalam pasukan bomba sukarela ini penting bagi menerapkan nilai kemasyarakatan dalam diri mereka.

"Bomba sukarela ini banyak membantu ketika dalam keadaan kecemasan. Golongan belia disaran untuk menyertai pasukan bomba bagi membantu menyelamatkan nyawa dan juga harta benda orang awam.

"Mereka juga berpeluang untuk mempelajari teknik menyelamatkan nyawa yang tidak dapat dipelajari di tempat lain," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, sejak PBS pertama di Tanjung Tualang ditubuhkan tahun 1990, Perak kini mempunyai sebanyak 44 Pasukan Bomba Sukarela dengan 1,319 anggota.

"Perkembangan ini menunjukkan kesedaran dalam kalangan golongan muda. Pasukan bomba sukarela ini bukanlah satu pasukan yang diberi elaun, bukannya pasukan sukarela yang diberi gaji tetapi atas nama satu kesedaran untuk masyarakat, hasil daripada kesedaran dan semangat yang wujud dalam diri mereka untuk membantu masyarakat yang ditimpa bencana," katanya.

Setakat ini, PBS Perak terlibat secara langsung membantu pasukan bomba dalam 464 kes kebakaran atau 14 peratus daripada kes kebakaran yang berlaku.

Ia sekaligus menunjukkan PBS turut memainkan peranan penting membantu menyelamatkan sebahagian daripada RM645 juta harta benda di Perak tahun ini. -Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!