X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Orang asli di Cameron Highlands bakal nikmati internet 4G

Kerja-kerja pemasangan gentian optik sedang dijalankan di Cameron Highlands, Pahang.
A
A

KUANTAN - Dua menara baharu yang dibina di Pos Lemoi dan Kampung Telimau di Cameron Highlands akan siap dan dijangka beroperasi penghujung bulan depan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerja-kerja pembinaan menara terbabit sedang berjalan dan penduduk di kawasan kampung terlibat akan menikmati talian 4G.

"Menara di Pos Lemoi terletak berdekatan Sekolah Kebangsaan Lemoi, Cameron Highlands yang mempunyai seramai 127 orang pelajar.

"Mereka (pelajar) merupakan masyarakat orang asli dari beberapa buah kampung seperti Kampung Lemoi, Kampung Telimau, Kampung Chenan Cerah dan Kampung Tilip," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau menjelaskan, pembinaan dua menara itu antara 28 menara baharu yang akan siap sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini.

Katanya, semua pembinaan menara ini di bawah pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Pahang yang dijalankan secara kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kerajaan Pahang.

"Secara keseluruhan, melalui pelaksanaan Jendela di Cameron Highlands, sebanyak 23 menara telah dirancang untuk dibina di mana pembinaan baki 21 menara lagi akan bermula dalam masa terdekat.

"Di bawah usaha yang sama, sebanyak 13 stesen pemancar akan dinaik taraf kepada rangkaian 4G dan 8 kampung orang asli akan mendapat perkhidmatan internet jalur lebar satelit," ujarnya.

Mohammad Fakhruddin menambah, bagi perkhidmatan talian tetap, rangkaian di 4,370 premis telah dirancang untuk dinaik taraf dan sehingga kini 916 telah siap dilaksanakan.

Jelasnya, semua inisiatif ini dijangka siap pada penghujung tahun hadapan.

Justeru, masyarakat di kawasan sasaran di sekitar Cameron Highlands akan mendapat perkhidmatan internet yang lebih baik dan berkesan.

"Ini membuktikan kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terus berusaha merapatkan jurang digital di antara penduduk luar bandar dan bandar.

"Usaha itu dilakukan demi memastikan semua rakyat negeri ini mendapat akses kepada internet yang lebih baik sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!