Rakyat yakin MPN mampu bawa negara keluar dari krisis

Gabungan pemimpin daripada kerajaan dan pembangkang dapat membuahkan idea meneruskan agenda kekuatan negara.(Gambar hiasan). - Foto Awani
Gabungan pemimpin daripada kerajaan dan pembangkang dapat membuahkan idea meneruskan agenda kekuatan negara.(Gambar hiasan). - Foto Awani
A
A
A

JITRA - Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang sebahagian besar dianggotai pakar dalam bidang relevan sangat diperlukan untuk memberi tumpuan kerja-kerja mitigasi Covid-19 dan ekonomi.

Menurut ahli perniagaan Datuk Mohd Yusof Ismail, selain itu, gabungan pemimpin daripada kerajaan dan pembangkang dapat membuahkan idea meneruskan agenda kekuatan negara.

Jelasnya MPN yang terdiri daripada 50 peratus pakar, 25 peratus ahli Parlimen Kerajaan dan 25 peratus ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) harus bertanggungjawab ke atas amanah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Kalau program pemulihan negara ini gagal maknanya semua pihak terlibat kalau berjaya, semua pihak juga terlibat.

"Jadi kita hentikan seketika berpolitik... kita selesaikan masalah rakyat ini sebab kesan daripada Covid-19 ini dirasai di seluruh dunia, bukan di Malaysia sahaja," katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Amirul Abdullah, berkata gabungan pakar pelbagai bidang bersama ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang diyakini boleh menyelesaikan banyak masalah.

"Masing-masing boleh memberi pendapat berdasarkan latar belakang masing-masing dan kita berharap mereka mampu membawa kita keluar dari pandemik ini," katanya. - Awani

Artikel Berkaitan: