Guru rugi RM36,000 ditipu 'Tuan Chong'

Gambar kecil: Mohd Wazir
Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru kerugian RM36,000 akibat ditipu sindiket menyamar sebagai pegawai polis yang mendakwanya terlibat dengan pengubahan wang haram berjumlah RM2.18 juta.

Mangsa berusia 52 tahun dari Jerantut itu dikatakan akur dengan semua perintah pegawai polis yang menggelarkan diri sebagai 'Tuan Chong' termasuk membeli satu nombor baharu bagi membolehkan mangsa mudah untuk dihubungi, selain mengelak daripada ditangkap polis berhubung dakwaan terlibat dengan jenayah itu.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada awal bulan ini apabila mangsa menerima panggilan daripada wakil sebuah syarikat insurans yang dikenali dengan nama Natasha Ismail.

Menurutnya, suspek mendakwa mangsa ada membuat empat tuntutan membabitkan kemalangan yang berjumlah RM76,800.

"Mangsa menafikan perkara tersebut dan suspek kemudian memaklumkan itu adalah tuntutan palsu dan meminta maklumat peribadi bagi membersihkan nama mangsa.

"Selepas itu, panggilan telah disambungkan kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan dan mangsa telah diberitahu bahawa dirinya terlibat dengan satu kes jenayah iaitu sindiket pengubahan wang haram berjumlah RM2.18 juta," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai laporan itu, Mohd Wazir berkata, panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada pegawai polis dikenali ’Tuan Chong’ dan ’Puan Yong’.

Jelasnya, suspek meminta mangsa menyimpan nombor telefon itu menggunakan nama lain iaitu Tuan Chong dengan nama Aishah dan Puan Yong sebagai Ani.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, pada Jumaat lalu, Tuan Chong meminta mangsa membeli satu nombor baharu supaya mudah untuk dihubungi dan memadam setiap panggilan yang dibuat oleh mereka.

"Suspek turut mengarahkan mangsa supaya 'unlink' akaun dari Bank Islam ke Tabung Haji bagi membolehkan pihaknya menyiasat kemasukan wang haram.

"Suspek meminta mangsa untuk menjadikan enam digit awal nombor kad pengenalan sebagai nombor pin kad bank tersebut dan mengugut mangsa agar tidak memberitahu sesiapa," katanya.

Mohd Wazir berkata, pada Rabu, mangsa telah membuat semakan akaun Tabung Haji miliknya dan mendapati sebanyak RM20,000 telah lesap.

Menurutnya, selepas itu, mangsa membuat semakan akaun Bank Rakyat dan mendapati telah kehilangan wang berjumlah RM16,000 dalam akaun semasa dan simpanannya.

"Susulan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut selepas merasakan dirinya telah ditipu.

"Laporan polis dibuat mangsa sebagai perlindungan kerana bimbang akan keselamatan diri, keluarga dan maklumat peribadi serta takut apa-apa berlaku di kemudian hari," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.