Pesanan terakhir Pak Teh Mad

Wan Mohd Assamudin mendoakan bapanya di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Gelanggang, di sini, pada Rabu.
Wan Mohd Assamudin mendoakan bapanya di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Gelanggang, di sini, pada Rabu.
A
A
A

PADANG TERAP - Tokoh ulama Kedah, Datuk Ahmad Mohd Nor, 96, meninggalkan pesanan mahu ilmu agama terus disebarkan kepada masyarakat melalui sistem pengajian pondok.

Ahmad yang lebih dikenali sebagai Pak Teh Mad menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Nerang kira-kira jam 12.57 tengah malam pada Rabu akibat dijangkiti Covid-19.

Anak Allahyarham, bekas pensyarah pengajian Bahasa Arab Institut Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (INSANIAH) yang kini dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Wan Mohd Assamudin Ahmad, 58, berkata, bapanya merupakan seorang yang tegas dalam mendidik anak-anak.

"Saya akan menunaikan hasrat bapa untuk membantu menguruskan Pondok Ahmadiah yang diasaskan sejak tahun 1961 tersebut.

"Allahyarham juga berpesan supaya saya membantu mengajar di pondok berkenaan. Beliau mahu ilmu agama terus disebarkan kepada orang ramai menerusi sistem pengajian pondok," katanya ketika ditemui di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Gelanggang, di sini, pada Rabu.

Menurut Wan Mohd Assamudin, ibunya, Datin Wan Salehah Wan Ibrahim, 83, menjalani kuarantin di hospital dan tujuh adik beradiknya lain tidak dapat mengiringi jenazah ke tanah perkuburan kerana menjalani kuarantin di rumah.

Bagaimanapun, Wan Mohd Assamudin memberitahu, mereka sekeluarga reda dengan pemergian arwah bapa selepas beliau menerima rawatan di hospital berkenaan sejak Jumaat lepas.

Sebelum itu, jenazah Allayarham selamat dikebumikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) kira-kira jam 11.15 pagi Rabu.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang anak murid Allahyarham, Mohd Najib Ghazali, 43, memberitahu, dia mengenali Allahyarham sejak berusia tujuh tahun selepas menginap dan belajar di pondok itu bersama nenek serta moyangnya dahulu.

Mengenali susuk tubuh ini, Mohd Najib mengakui Allahyarham seorang yang sangat penyayang, sentiasa berpesan supaya menjaga pondok itu dan mengambil lebih ramai pelajar untuk mendalami ilmu agama di institusi tersebut.

"Walaupun berdepan ujian ataupun jatuh sakit, arwah tidak pernah mengeluh dan sentiasa menasihatkan saya supaya sentiasa merendah diri serta tidak sombong," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pemergian seorang ulama tertua di Kedah yang mengasaskan Pondok Ahmadiah merupakan satu kehilangan besar buat masyarakat Islam di Kedah dan Malaysia.

"Kami merakamkan takziah kepada seluruh keluarga dan warga Pondok Ahmadiah atas kembalinya ke rahmatullah, serta mendoakan agar rohnya ditempatkan bersama para solehin dan orang yang bertakwa," katanya.

Pada Rabu, portal Sinar Harian melaporkan tokoh ulama terkenal Kedah, Datuk Ahmad Muhammad Nor meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang kira-kira jam 12.57 tengah malam.