X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Harap suhu politik Malaysia kembali stabil

Kerjasama dwipartisan kedua-dua blok itu akhirnya dapat direalisasikan hasil daripada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
A
A

PADA Isnin lalu, sejarah tercipta apabila kerajaan dan pembangkang (Pakatan Harapan) buat julung-julung kalinya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

Siapa sangka kerjasama dwipartisan kedua-dua blok itu akhirnya dapat direalisasikan hasil daripada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perlu diingatkan juga bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberikan nasihat yang cukup jelas agar ahli-ahli politik mengamalkan demokrasi bermusyawarah ketika menghadapi sebarang masalah.

Seluruh rakyat Malaysia menyambut baik apa yang sudah terpateri antara pihak kerajaan dan Pakatan Harapan melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Sudah sampai masanya ahli-ahli politik kembali fokus terhadap keluh-kesah dan kebajikan rakyat. Jangan lagi diheret rakyat sehingga menjadi mangsa kepada kecelaruan politik.

Rakyat sekarang sudah cukup bijak dan matang untuk menilai - siapa ahli Yang Berhormat (YB) yang benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat - atau sekadar bermain wayang dan lebih gemar bersandiwara.

Seringkali kita mendengar satu frasa ini setiap kali menyentuh tentang orang politik - YB sebagai Yang Berkhidmat kepada rakyat, bukan Yang Berhormat. Malah, ada juga yang menyebut wakil rakyat adalah ‘hamba᾿ rakyat.

Apa pun diharapkan suhu politik Malaysia kembali stabil. Paling penting, negara tidak lagi dibelenggu krisis politik angkara elit-elit politik. Jika itu terus berlaku, rakyat sekali lagi menjadi mangsa.

Dengan masa yang ada sekarang sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sudah tentu rakyat mengharapkan kestabilan dalam negara. Ini masanya buat gencatan politik bagi memberi keutamaan kepada krisis kesihatan dan ekonomi.

Isu kesihatan dan ekonomi harus menjadi fokus utama wakil-wakil rakyat dan bukannya terus bermain politik. Ketepikan segala perbezaan fahaman politik dan berikan tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!