Seronok tengok pasukan JDT main bunga api

JDT berpesta bagi meraikan kejayaan menjuarai Liga Super kali kelapan berturut-turut. - Foto Facebook Johor Southerns Tigers
JDT berpesta bagi meraikan kejayaan menjuarai Liga Super kali kelapan berturut-turut. - Foto Facebook Johor Southerns Tigers
A
A
A

PADA Ahad malam, kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi berpesta. Sama seperti yang dilakukan sejak tahun 2014, JDT berpesta bagi meraikan kejayaan menjuarai Liga Super kali kelapan berturut-turut.

Segenap ruang udara di pekarangan Stadium Sultan Ibrahim bermandikan cahaya bunga api. Bukan sahaja barisan pemain dan pegawai JDT bersorak gembira, malah penyokong skuad Harimau Selatan juga tidak mahu ketinggalan sama.

Bagi Merak Jalanan, dalam dunia sukan sering kali keluar ayat yang berbunyi ‘mempertahankan kejuaraan lebih sukar daripada memenangi sesuatu kejuaraan᾿, tetapi JDT telah membuktikan sebaliknya apabila masih gah mengecap nikmat juara.

Pada ketika JDT terus ‘bermaharajalela᾿ mendominasi saingan liga domestik, timbul persoalan apa nasib barisan pencabar yang lain. Sampai bila mereka hanya mampu ‘mengekor᾿ di belakang Harimau Selatan.

Seakan-akan sama seperti kisah kejayaan JDT sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tiada kejutan besar yang mampu dijelmakan 11 pasukan lain. Mungkin hanya Terengganu FC (TFC) yang harus diberikan sedikit kredit.

TFC menjadi satu-satunya pasukan yang mampu mencalarkan rekod cemerlang JDT. Kemenangan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 April lalu menyaksikan TFC berjaya mengakhiri rekod tanpa kalah 21 perlawanan JDT.

Jika barisan pencabar JDT terus lena dibuai mimpi indah, tak mustahil situasi yang sama akan berlaku dalam beberapa tahun mendatang. Malah, tak mustahil juga JDT akan terus bermain bunga api selagi tiada lawan yang kompetitif.

Memang benar apa yang dikatakan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim: “Nak main bola semua tempat boleh bermain bola tetapi kalau nak main bola dan bunga api, datang ke JDT.” Kepada pencabar JDT, Merak Jalanan nak pesan, percayalah tak rugi ikut cara Tunku Ismail terajui JDT.

Artikel Berkaitan: