Puting beliung ragut 23 nyawa di Alabama

Puting beliung yang melanda Lee County di Alabama, semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 23 nyawa.
Puting beliung yang melanda Lee County di Alabama, semalam mengorbankan sekurang-kurangnya 23 nyawa.
A
A
A

ALABAMA - AMERIKA SYARIKAT. Sekurang-kurangnya 23 orang dilapor maut termasuk kanak-kanak susulan puting beliung yang melanda Lee County di timur Alabama semalam, kata pihak berkuasa.

Sherif Jay Jones berkata, angka kematian mungkin meningkat namun usaha menyelamat terpaksa dihentikan buat sementara berikutan risiko keselamatan melakukan operasi pencarian dalam keadaan gelap.

"Usaha menyelamat juga berdepan kesukaran berikutan jumlah serpihan yang terlalu banyak di lokasi penempatan," kata Jones sambil menambah jumlah mangsa cedera tidak dapat dipastikan dan kawasan terbabit telah ditutup oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, pihak berkuasa masih dalam usaha mengenal pasti mangsa yang maut serta cedera, namun sebuah keluarga di bandar Beauregard memaklumkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun turut menjadi korban.

Syarikat pembekal elektrik, PowerOutage.US pula berkata, kira-kira 4,000 penduduk terputus bekalan elektrik di seluruh Alabama, 2,000 daripada mereka di Lee County.

Agensi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan melaporkan, puting beliung terbabit bergerak pada kelajuan 266 kilometer sejam, dan lebih memburukkan keadaan, cuaca sejuk dijangka bakal melanda selepas ini.

Ahli meteorologi Alabama Eric Snitil memaklumkan, berlaku lebih banyak kematian di Lee County dalam sehari disebabkan puting beliung berbanding di seluruh Amerika Syarikat pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Gabenor Alabama Kay Ivey melahirkan simpati buat keluarga mangsa dan meminta penduduk berhati-hati berikutan cuaca sejuk melampau yang bakal melanda, dan Presiden Donald Trump mengingatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada. - BBC

Artikel Berkaitan: