Perhilitan rampas sumbu badak bernilai RM30 juta

Sebanyak 50 batang sumbu badak dirampas.
Sebanyak 50 batang sumbu badak dirampas.
A
A
A

SEPANG - Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan) merampas 50 batang sumbu badak bernilai RM30 juta dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Tengah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9 September lepas.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dua orang suspek ditahan dalam operasi tersebut berikutan hasil risikan berterusan oleh unit khas jabatan berkenaan.

"Dua orang suspek warga tempatan ditahan pada 9 September di bulatan Masjid KLIA kerana melakukan jenayah melibatkan penyeludupan hidupan liar.

"Turut dirampas adalah sebuah lori dan dokumen berkaitan penyeludupan sumbu badak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Abdul Kadir berkata, kesemua sumbu badak tersebut akan dijalankan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti asal usul haiwan tersebut.

"Sumbu badak tersebut disyaki diseludup dari luar negara. Analisis DNA akan dijalankan oleh makmal forensik Perhilitan bagi mengenal pasti sama ada ia daripada spesies tempatan atau luar negara," katanya.

Sementara itu, katanya, dalam tempoh sedekad kebelakangan ini, pihaknya mencatatkan sebanyak lima kes berkaitan kegiatan penyeludupan melibatkan 96 batang sumbu badak.

"Spesies badak dan bahagiannya adalah dilindungi dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Ia juga disenaraikan dalam apendik I Akta Perdagangan Antarabangsa iaitu spesies ini tidak boleh diperdagangkan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, semua suspek disiasat di bawah Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan hukuman denda mencecah RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.