UNESCO iktiraf Bukit Bendera kawasan rizab biosfera

UNESCO iktiraf Bukit Bendera kawasan rizab biosfera.
UNESCO iktiraf Bukit Bendera kawasan rizab biosfera.
A
A
A

GEORGETOWN - Bukit Bendera di Pulau Pinang telah diiktiraf sebagai tapak rizab biosfera Malaysia yang ketiga di bawah Program Man and the Biosphere (MAB) oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan itu dibuat pada mesyuarat International Coordinating Council of the 33rd Session of the International Coordinating Council of Man and the Biosphere Programme (ICC MAB) pada Rabu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengiktirafan ini merupakan kejayaan buat Malaysia dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya dalam pengurusan kawasan berkepentingan biodiversiti di samping komitmen dalam melaksanakan pembangunan mampan.

"Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sebagai pusat tumpuan nasional kepada program MAB merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan negeri atas pengiktirafan ini.

"Kementerian juga yakin bahawa kerajaan negeri akan terus komited dalam menguruskan tapak rizab biosfera ini dengan baik dan berusaha mengekalkan status pengiktirafan ini pada masa akan datang demi melaksanakan fungsi-fungsi yang telah ditetapkan di bawah program MAB ini," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Selain Bukit Bendera dua lokasi lain yang pernah menerima pengiktirafan sama ialah Tasik Chini, Pahang pada tahun 2009 dan Banjaran Crocker, Sabah pada tahun 2014.

Takiyuddin berkata, rizab biosfera Bukit Bendera berkeluasan 12,481 hektar merupakan green lung kepada Pulau Pinang.

Jelasnya, kawasan rizab berkenaan turut melibatkan kawasan sekitar Bukit Bendera termasuklah Taman Botani Pulau Pinang, Taman Negara Pulau Pinang, enam hutan simpanan kekal serta dua empangan.

Artikel Berkaitan:

"Rizab biosfera Bukit Bendera juga merangkumi tiga ekosistem utama iaitu kawasan berhutan, pantai dan marin.

"Setiap ekosistem menyokong pelbagai rangkaian flora dan fauna, termasuk mamalia dan burung hijrah migrasi terancam," katanya.

Sehingga kini, terdapat 2,456 spesies tumbuhan, 131 spesies kulat, 300 spesies artropod, 157 spesies vertebrata, 26 spesies amfibia, 87 spesies reptilia, 150 spesies burung, 30 spesies mamalia dan lima spesies marin yang terdapat di kawasan tersebut.

Selain itu, terdapat 20 spesies flora dan 550 spesies fauna di kawasan ini telah disenaraikan sebagai terancam dalam International Union for Conservation of Nature’s Red List (IUCN Red List) seperti penyu, ikan lumba-lumba, tenggiling, kongkang dan Penang Island rock gecko.