Usah pandang ringan isu MA63: Ahli parlimen

Ahli parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berucap pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.
- Foto Bernama
Ahli parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berucap pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini.
- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi antara topik yang disentuh bukan sahaja oleh Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, malah turut disertai wakil rakyat Semenanjung ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) dengan nada tegas meminta semua pihak agar tidak memandang rendah atau kecil isu MA63, sebaliknya harus dilihat secara objektif bagi pembangunan Sabah dan Sarawak.

“Sampai hari ini, isu hak-hak pembangunan Sabah dan Sarawak masih ketinggalan. Saya mahu Perlembagaan Persekutuan termasuk MA63 dilihat secara objektif. Jangan pandang rendah perkara ini.

“Saya tidak mahu ada kuasa-kuasa besar yang akhirnya mengambil kesempatan terhadap Sabah dan Sarawak dan dijadikan sebagai Timor-Leste. Perkara ini perlu kita perjelaskan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ketika kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH), Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibawa ke Parlimen bagi meminda MA63 namun gagal mendapat sokongan dua pertiga ahli Parlimen untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan.

Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) pula mencadangkan agar perincian laporan akhir MA63 didedahkan kepada awam dan bukan diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Sebab tak wajar pada pandangan saya ia diletakkan di bawah akta rasmi kerana ini perkara sejarah yang sepatutnya diketahui rakyat dan umum. Apa yang rahsia sangat sehingga letak bawah akta itu? Dengan cara demikian barulah rakyat dan pemimpin negara akan dapat menghayati MA63,” katanya.

MA63 merupakan satu daripada enam agenda Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, meskipun tidak menandatangani memorandum tersebut, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berkata, beliau akan tetap menyokong MA63.

Presiden Parti Warisan itu berkata, sokongan terhadap MA63 adalah bagi kepentingan rakyat dan negara, namun beliau mempersoalkan desas-desus kewujudan jawatankuasa kerja baharu sedangkan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri sudahpun maklum mengenai kandungan MA63.

Jawatankuasa Kerja di bawah Majlis Khas MA63 sebelum ini terdiri daripada Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak serta Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi.

Seramai 24 ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih dan perbahasan Titah Diraja pada Rabu.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin. - Bernama