ATM perlu bajet secukupnya hadapi situasi geopolitik tidak menentu

Affendi Buang
Affendi Buang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan bajet secukupnya dalam Belanjawan 2022 bagi menghadapi situasi geopolitik serantau yang tidak menentu dan ancaman-ancaman lain, kata Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata, belanjawan berkenaan penting agar penyelenggaraan dan perolehan baharu gantian aset-aset dan persenjataan usang dapat direalisasikan bagi kesiapsiagaan tinggi pasukan keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Isu seperti tuntutan bertindih kepulauan Spratly, persempadanan negara dan pelbagai ancaman lain menjadikan ATM perlu bersedia dari segi anggota dan aset.

“Selain itu, diharapkan belanjawan ini turut mengambil kira keperluan kos bagi kelangsungan pelbagai kursus dan latihan ketenteraan yang telah dirancang kerana kedua-duanya adalah pelaburan berterusan dalam meningkatkan kesiagaan strategik.

“Melaluinya, anggota ATM akan sentiasa terpelajar dan berkebolehan mengendalikan pelbagai peralatan dan persenjataan berteknologi terkini serta masa depan,” katanya dalam wawancara khas sempena Hari ATM ke-88 di Wisma Perwira ATM, di sini baru-baru ini.

Hari ATM disambut pada 16 September setiap tahun manakala Belanjawan 2022 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini.

Affendi berkata, ATM juga memerlukan bajet secukupnya bagi membolehkan bantuan petugas sekatan jalan raya, kemudahan perubatan dan lain-lain bantuan logistik kepada pihak berkuasa awam dalam menangani ancaman wabak Covid-19 dapat diteruskan secara efisien tanpa menjejaskan tugas hakiki iaitu mempertahan kedaulatan negara daripada anasir asing.

Beliau berkata, perkara penting dalam menentukan sokongan operasi kepada keperluan aset-aset yang diperlukan, ialah ATM akan berterusan melaksanakan tadbir urus terbaik dalam semua aspek pengurusan termasuk dukungan logistik berkesan dan sumber manusia kompeten.

Artikel Berkaitan:

“Perhatian juga diberikan kepada semakan ke atas setiap polisi, perancangan dan pelan operasi agar dapat mendukung aspirasi memperkasakan kesiagaan ATM dalam landskap semasa,” katanya.

Sebelum ini, Belanjawan 2022 dirangka dengan matlamat untuk melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian rakyat, membina semula daya ketahanan ekonomi dan memangkin pembaharuan sosioekonomi.

Mengulas mengenai sambutan Hari ATM ke-88 yang dirancang, Affendi berkata, sambutan pada tahun ini dibuat secara fizikal di Kem Segenting, Port Dickson pada 22 September.

Beliau berkata, pelaksanaannya mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang terkawal iaitu melibatkan acara Demonstrasi Keupayaan Aset dan Kompetensi ATM serta Perbarisan Tempur.

“Seramai 2,500 pegawai dan anggota akan menjayakan kedua-dua acara berkenaan sepertimana pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan lepas dan tidak melibatkan kehadiran penonton daripada kalangan masyarakat setempat atau luar,” katanya.

Affendi berkata, ia sebagai langkah kawalan memastikan acara ini diadakan dengan lancar dan mengawal kebarangkalian penularan wabak Covid-19.

Sambutan boleh ditonton terutama segmen demonstrasi keupayaan aset melalui siaran lintas langsung oleh RTM bermula jam 9.30 pagi. - Bernama