Kopa Arena minat taja Perak FC

Azman Noh
Azman Noh
A
A
A

PERAK FC mengesahkan syarikat Kopa Arena yang terkenal dalam pengurusan sukan bola sepak termasuk aspek latihan dan padang berminat untuk menaja The Bos Gaurus itu dalam saingan Liga Premier 2022.

Pengurus Besar Perak FC, Azman Noh berkata, syarikat tersebut telah menghantar surat permohonan secara rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dan perbincangan lanjut akan diadakan dalam masa terdekat.

"Surat tawaran telah dihantar oleh syarikat tersebut minggu lepas dan antara yang mungkin dibincangkan adalah berkaitan pembelian sebahagian saham dalam Perak FC.

"Kata putus berkenaan perkara ini terserah kepada kebijaksanaan pihak pengurusan tertinggi PAFA untuk menilainya," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Pada 31 Ogos lalu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed menjelaskan, Perak FC telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat korporat tempatan pada Julai namun masih belum memuktamadkan sebarang keputusan.

The Bos Gaurus tersingkir ke Liga Premier 2022 selepas menduduki tangga kedua tercorot daripada 12 pasukan bertanding dalam Liga Super musim ini.

Azman berkata, Perak FC memerlukan lebih RM10 juta secara keseluruhan merangkumi aspek gaji, logistik dan pelbagai urusan lain untuk memastikan kelancaran bagi mengharungi liga berkenaan pada musim depan.

"Kos ini saya anggap realistik dan pada masa sama kita tidak mahu perkara-perkara di luar jangka seperti dalam Liga Super sebelum ini berulang kembali,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas persiapan pasukan bagi menghadapi Piala Malaysia hujung bulan ini, Azman berkata, The Bos Gaurus meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

"Bagaimanapun sasaran kita ini bergantung kepada undian yang dijalankan nanti, pasukan mana yang kita akan hadapi," katanya sambil menambah momentum dan fokus pemain ketika ini dalam keadaan terbaik serta bebas daripada kecederaan serius. - Bernama