Mekanik ugut simbah asid kepada bekas isteri, anak

Rakaman yang tular menunjukkan sebuah kereta yang rosak pada bahagian belakang dikatakan kerana terkena asid.
Rakaman yang tular menunjukkan sebuah kereta yang rosak pada bahagian belakang dikatakan kerana terkena asid.
A
A
A

BACHOK - Perbuatan seorang mekanik mengugut untuk menyimbah asid terhadap bekas isteri dan dua anak mereka di Pasir Tumboh di sini membawa padah apabila ditahan polis pada Rabu.

Suspek berusia 49 tahun yang dikatakan berang selepas bercerai dengan bekas isterinya itu ditahan polis di satu lokasi di Kota Bharu pada jam 5 pagi, Rabu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa yang berusia 28 tahun bertindak membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri akibat suspek yang didakwa sering kali membuat kacau selepas mereka bercerai pada 1 Mei lalu.

Katanya, kejadian ugutan berlaku semasa mangsa berada di kedai runcit milik keluarganya bersama ibunya dan dua anak mangsa pada jam 11 pagi, 4 September lalu.

“Bekas suami mangsa datang mengugut untuk menyimbah asid dan mencederakan mangsa serta anak-anak mereka yang masih kecil.

“Suspek dikatakan sering kali membuat kacau akibat tidak berpuas hati kerana mangsa yang dikatakan menuntut penceraian antara mereka,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sijil penghargaan kepada sepasukan anggota dan pegawai IPD Bachok yang berjaya menyelesaikan kes khianat Pondok Polis Pasar Jelawat yang dibakar oleh seorang lelaki bermotosikal, Sabtu lalu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.

Menurut Shafien, suspek sebelum ini pernah ditahan pada 28 Jun lalu kerana kesalahan menceroboh rumah keluarga bekas isterinya itu pada 22 Jun lalu.

DATUK SHAFIEN MAMAT
DATUK SHAFIEN MAMAT

“Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman denda RM1,000 mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, namun dibebaskan selepas menjelaskan denda berkenaan.

“Suspek sekali lagi ditahan pagi tadi (Rabu) dan akan direman bagi membantu siasatan kerana ugutan untuk menyimbah asid,” katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi dua minit memaparkan seorang lelaki yang mengugut untuk menyimbah asid terhadap wanita didakwa bekas isterinya dan anak mereka.

Turut dipaparkan dalam rakaman itu, gambar sebuah kereta yang rosak pada bahagian belakang dikatakan selepas terkena asid.