MPN perlukan penglibatan 100 peratus pakar pelbagai bidang: Mukhriz

Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan kerajaan perlu menggunakan 100 peratus cetusan idea pakar-pakar daripada pelbagai bidang untuk menggerakkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) kerana tidak mempunyai sebarang kepentingan politik.

Beliau berkata, keanggotaan MPN ketika ini hanya melibatkan 50 peratus tenaga pakar dan selebihnya dianggotai oleh ahli politik kerajaan dan pembangkang.

Menurutnya, ia tidak selari dengan idea awal yang telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun idea penubuhan MPN itu dianggap telah diciplak oleh kerajaan.

"Kita mahu gunakan idea-idea, cetusan pemikiran daripada pakar dalam bidang-bidang yang relevan untuk cadangkan pendekatan terbaik bagi menyelamatkan negara ketika ini.

"Sebaliknya, kita dapati apa yang dicadangkan adalah hanya 50 peratus anggota MPN ini terdiri daripada pakar, 25 peratus ahli politik daripada kerajaan dan 25 peratus lagi ahli Parlimen pembangkang," katanya ketika membahaskan titah ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mukhriz berkata, beliau bukan mahu persoalkan keupayaan ahli-ahli politik untuk menyumbang idea, tetapi ia telah dibuat sebelum ini dan tidak berjaya.

"Maka saya rasa paling penting sekarang ini kita serahkan bulat-bulat kepada orang yang pakar dalam bidang untuk mencadangkan kepada kerajaan apa yang terbaik untuk kita tangani krisis berlipat ganda sekarang ini," katanya.

Menurut Mukhriz, penubuhan MPN sebenarnya telah dicadangkan oleh Dr Mahathir sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum kerajaan bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan mahu melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Artikel Berkaitan:

"Kita anggap itu (pengumuman kerajaan Muhyiddin) mungkin sebagai idea ciplak daripada Dr Mahathir, namun asalkan dapat membantu rakyat, kita tiada menghalang.

"Kemudian Menteri Kewangan berjumpa dengan Dr Mahathir dan mengumumkan penubuhan MPN tetapi melantik pula Muhyiddin sebagai pengerusinya. Perkara itu terbawa-bawa sehingga kerajaan dipimpin (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob dan sekali lagi kita dikejutkan apabila Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.

"Beliau tidak mampu lakukan sewaktu memegang jawatan tertinggi negara dengan kuasa darurat, kenapa sekarang ini boleh?" katanya.

Justeru, Mukhriz mencadangkan pelantikan Dr Mahathir sebagai Pengerusi MPN mengambil kira kepentingan politik yang bakal diketepikan.

Bahkan beliau mendakwa, tawaran sebagai Pengerusi MPN itu sebenarnya dibuat oleh Ismail Sabri sewaktu belum dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Beliau (Dr Mahathir) pun umumkan akan letak jawatan sebagai Pengerusi Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) sekiranya dilantik sebagai Pengerusi MPN.

"Saya dimaklumkan apabila Ismail Sabri berjumpa Dr Mahathir sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau menjanjikan penubuhan MPN dan akan melantik Dr Mahathir sebagai Pengerusi.

"Malangnya janji tak dikota. Tapi saya rasa ini masih lagi perkara yang serius untuk tangani apa yang kita hadapi," katanya.