JAS kenal pasti punca sebenar pencemaran Sungai Tawakal

Tuan Ibrahim (kanan) ketika meninjau lokasi kejadian yang dipercayai berlakunya pembuangan sisa terjadual di Sungai Tawakal, Kampung Baru Seri Aman, petang Rabu
Tuan Ibrahim (kanan) ketika meninjau lokasi kejadian yang dipercayai berlakunya pembuangan sisa terjadual di Sungai Tawakal, Kampung Baru Seri Aman, petang Rabu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah mengenal pasti punca sebenar yang mengakibatkan pencemaran Sungai Tawakal di Kampung Baru Seri Aman di sini pada malam Selasa.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bagaimanapun siasatan berkaitan insiden itu masih sedang dilengkapkan dengan bukti-bukti kukuh akan dikumpul.

Menurutnya, JAS Johor juga telah mengesan lokasi asal dipercayai kawasan pembuangan sisa terjadual itu selain tindakan kawalan akan diambil untuk memastikan insiden itu tidak berulang.

“Berdasarkan hasil maklumat mengenai insiden pencemaran buangan terjadual di Kampung Baru Sri Aman, kami dapati kawasan pencemaran adalah meliputi jarak sejauh satu kilometer sepanjang Sungai Tawakal.

“JAS Johor telah mengenal pasti punca menyebabkan pencemaran tersebut dan sedang menjalankan siasatan lanjut di premis disyaki iaitu merupakan kawasan tempat letak kereta.

“Kali ini, kami percaya sisa ini dibuang secara terus dari lori berdasarkan daripada kesan sisa buangan di tebing sungai,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melawat Sungai Tawakal di sini pada petang Rabu.

Tuan Ibrahim berkata, hasil analisis kimia terhadap bahan sisa buangan terjadual itu dijangka diperoleh kurang daripada seminggu.

Beliau berkata, lanjutan kes itu, pihak berkuasa kini telah membuat penahanan sembilan suspek bagi membantu siasatan dan pengumpulan bukti.

Artikel Berkaitan:

“Kita dah tahan sembilan orang buat masa sekarang, mereka terdiri dariapda lima warga tempatan dan empat warga asing masing-masing berusia 30-an hingga 50-an.

"Kementerian tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan pembuangan ini dan akan mengambil tindakan menggunakan akta sedia ada.

"Kami juga akan pantau semua pihak (premis dan kilang) yang mendapat lesen JAS dalam membuat pembuangan sisa buangan terjadual, sisa ini mesti dilupuskan dengan betul," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan keadaan masih terkawal dan tindakan pemantauan akan sentiasa berterusan.

“Melihat impak (hidupan air mati), insiden ini kami ambil serius kerana ada menyebabkan berlaku sesak nafas. Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang, ia kembali normal. Tiada lagi bau,” katanya.