X

Kindly register in order to view this article
!

Seoul, Pyongyang saling 'beradu kekuatan'

Korea Selatan mengumumkan kejayaan pelancaran peluru berpandu balistik kapal selam (SLBM) dari kapal selam, Dosan Ahn Chang-ho pada Rabu.
A
A

SEOUL - Korea Utara didakwa sengaja mengundang kemarahan negara antarabangsa apabila ia sekali lagi melancarkan dua misil balistik ke laut pada Rabu dalam tempoh kurang seminggu selepas Pyongyang yang meraikan kejayaan pelancaran peluru berpandu jarak jauh baharu milik mereka.

Ketua Turus Bersama (JCS) di Seoul dalam satu kenyataan mengesahkan Korea Utara melancarkan dua misil balistik tidak dikenal pasti dari kawasan pedalaman tengah ke luar perairan pantai timur negara itu.

"Korea Selatan bersama agensi risikan Amerika Syarikat (AS) sedang melakukan analisis terperinci," ujarnya tanpa memberikan butiran lanjut tentang had jangkauan peluru berpandu tersebut.

Menurutnya lagi, tentera Korea Selatan kini meningkatkan tahap pengawasan mereka dan sentiasa siap siaga serta berkomunikasi secara berterusan dengan Washington.

Sementara itu, Pengawai Pantai Jepun juga memberi pengesahan tentang 'objek misteri' yang dipercayai misil balistik dilancarkan dari Pyongyang dan jatuh di luar Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) wilayah mereka.

Perdana Menteri, Yoshihide Suga menyifatkan perbuatan provokatif Korea Utara sebagai 'keterlaluan' dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Pyongyang yang mengancam keamanan serta keselamatan rantau tersebut.

Difahamkan, pelancaran misil balistik itu dibuat ketika Menteri Luar China, Wang Yi mengadakan lawatan untuk bertemu rakan sejawatannya di Seoul yang dilihat sebagai 'isyarat secara tidak langsung' yang meminta Bejing menjadikan isu Semenanjung Korea sebagai agenda utama mereka.

Agensi berita Yonhap melaporkan Yi berharap kesemua pihak dapat membantu mengekalkan keamanan dan kestabilan di Semenanjung Korea.

"Gesaan ini bukan hanya kepada Korea Utara malah negara lain yang terlibat aktiviti ketenteraan di rantau berkenaan. Semua pihak perlu bekerjasama untuk menyambung semula dialog," tegasnya.

Krisis di Semenanjung Korea dijangka meningkat selepas Seoul turut mengumumkan kejayaan pelancaran peluru berpandu balistik kapal selam (SLBM) tidak lama selepas tindakan provokasi Pyongyang sekali gus menjadi negara ketujuh di dunia yang memiliki teknologi canggih tersebut.

Ujian yang diawasi Presiden Moon Jae-in itu dilancarkan dari kapal selam, Dosan Ahn Chang-ho dan berjaya mengenai sasaran ditetapkan.

"Ia adalah kemajuan sangat bermakna buat kami yang akan memainkan peranan utama dalam pertahanan negara secara mandiri dan mewujudkan keamanan secara berterusan di Semenanjung Korea," ujar kediaman rasmi Presiden, Rumah Biru dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Korea Utara yang berdepan sekatan antarabangsa kerana program senjata nuklear dan misil balistik dibangunkan mereka mendakwa projek itu bertujuan untuk mempertahankan diri daripada sebarang pencerobohan AS. - AFP


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!