Perak cadang buka PPG kekal untuk gelandangan

Wan Norashikin (depan, dua dari kanan) bersama petugas PPG Sementara ketika merasmikan Penutupan PPG Sementara di Dewan PBSM Cawangan Perak, di sini pada Rabu.
Wan Norashikin (depan, dua dari kanan) bersama petugas PPG Sementara ketika merasmikan Penutupan PPG Sementara di Dewan PBSM Cawangan Perak, di sini pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sedang meneliti cadangan mewujudkan Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) kekal di negeri ini bagi menjaga kebajikan golongan tersebut.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, PPG kekal tersebut akan diwujudkan di dalam daerah Kinta memandangkan kawasan tersebut mempunyai jumlah gelandangan yang ramai.

Menurutnya, lokasi PPG kekal tersebut sedang dikenal pasti mengikut kesesuaian dan dijangka dilaksanakan pada tahun hadapan.

"Kami bersama Pejabat Daerah dan Tanah Kinta serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memulakan kajian untuk mewujudkan sebuah PPG kekal untuk negeri Perak. Kami akan cari lokasi yang sesuai di dalam daerah Kinta kerana paling ramai gelandangan

"Selepas itu, kita akan kenal pasti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu dan agensi yang dapat melancarkan operasi PPG ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan PPG sementara di Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Perak, di sini pada Rabu.

Sementara itu mengenai penutupan PPG sementara di Dewan PBSM itu, beliau berkata, tindakan itu dibuat selepas semua gelandangan yang ditempatkan di situ telah keluar.

Wan Norashikin berkata, sejak beroperasi pada 5 Jun sehingga 15 September 2021, PPG sementara itu menempatkan seramai 63 orang gelandangan.

Jelasnya, kesemua mereka keluar secara berperingkat dan daripada jumlah itu, paling ramai diambil waris iaitu 13 orang, dilepaskan di bawah jaminan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) seramai 10 orang dan seramai lapan orang dihantar Rumah Seri Kenangan Taiping.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, terdapat juga gelandangan yang dilepaskan kerana mendapat kerja, dihantar ke anjung singgah dan meninggal dunia.

"Seramai tiga orang gelandangan meninggal dunia disebabkan Covid-19 manakala terdapat tiga orang dibebaskan dengan amaran kerana enggan menerima vaksin.

"Sepanjang tempoh tiga setengah bulan ini, kerajaan negeri membelanjakan RM700,000 termasuk peruntukan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi keseluruhan operasi di PPG sementara ini," katanya.

Wan Norashikin berkata, peruntukan asal yang diluluskan kerajaan negeri sebanyak RM750,000 untuk operasi dalam tempoh tiga bulan namun ia dapat dijimatkan sebanyak RM50,000.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pemberian saguhati sekali bayar berjumlah RM200 kepada 110 petugas harian tetap PPG sementara itu oleh kerajaan negeri sebagai menghargai komitmen mereka sepanjang pengoperasian PPG berkenaan.