Kes CEO Cradle Fund dapat liputan 'luar biasa' media

Antara petugas media yang membuat liputan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Antara petugas media yang membuat liputan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
A
A
A

PETALING JAYA - Puluhan petugas media hadir ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi membuat liputan pendakwaan isteri dan dua anak tiri Allahyarham Nazrin Hassan.

Pendakwaan itu berhubung kes pembunuhan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) itu, 14 Jun lalu.

Petugas media mula memenuhi pekarangan mahkamah seawal kira-kira jam 1.15 petang bagi mengikuti perbicaraan yang bermula pada jam 2 petang.

Turut kelihatan hadir bagi mendengar prosiding kes adalah Penganalisis Politik, Dr Chandra Muzaffar tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya bagi mengikuti prosiding pendakwaan terhadap anaknya, Samira Muzaffar.

Chandra tiba dengan berkerusi roda diiringi oleh beberapa ahli keluarga.

Samira, 44, berdepan dengan pertuduhan membunuh suaminya, Nazrin Hassan.

Turut didakwa, dua anak mereka, Samira berusia 13 dan 16 tahun.

Pada 22 Februari lalu, polis menyerahkan laporan bedah siasat kali kedua ke atas Allahyarham Nazrin kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, dilaporkan berkata sebarang tindakan lanjut akan diketahui selepas mendapat maklum balas dan keputusan daripada pihak terbabit.

Allahyarham Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun tahun lalu, dipercayai akibat kebakaran selepas telefon bimbit di dalam biliknya meletup.

Bagaimanapun, dua bulan kemudian, polis mengklasifikasikannya semula sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian.

Polis kemudian menyoal siasat anggota keluarganya, termasuk menahan reman isteri dan dua anak tirinya.

Pada 8 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan kubur Allahyarham Nazrin digali semula supaya bedah siasat kedua dapat dijalankan bagi mencari bukti baharu mengenai kematiannya.

Jenazah Allahyarham Nazrin kemudian dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6 Kota Damansara pada 15 Oktober lalu.