Kastam rampas 6,170 karton minuman keras di Penampang, Putatan

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas 6,170 karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM183,793 melibatkan jumlah cukai kira-kira RM761,550 dalam serbuan di dua gudang di Penampang dan Putatan dekat sini baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, dalam serbuan pertama pada jam 3 petang di sebuah gudang di Taman Kingland, Putatan, 7 September lepas, pihaknya dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang merampas 3,986 karton minuman keras pelbagai jenama.

"Semua minuman keras itu disyaki belum lulus kastam dengan anggaran nilai RM119,277 dan cukai berjumlah RM489,410," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Abdullah berkata, dalam serbuan kedua di sebuah gudang di HSK Bundusan, Penampang, 11 September lepas pula sebanyak 2,184 karton minuman keras pelbagai jenama bernilai RM64,516 membabitkan cukai berjumlah RM272,140, turut dirampas.

Beliau berkata, selain minuman keras, pihaknya turut merampas 40,500 biji mercun pelbagai jenama yang juga disyaki belum lulus kastam dalam serbuan di gudang di Putatan berkenaan.

“Semua mercun berkenaan bernilai RM21,600 dengan anggaran cukai berjumlah RM12,906,” katanya sambil menambah kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. - Bernama

Artikel Berkaitan: