Skuad Speedy Tigers sertai jelajah UK

AHMAD NAJMI - Foto Bernama
AHMAD NAJMI - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD The Speedy Tigers akhirnya berpeluang untuk mengasah taring mereka apabila akan menyertai Siri Jelajah United Kingdom bermula 19 September sehingga 22 Oktober ini selepas dua tahun tanpa aksi kompetitif.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, 23 pemain akan menyertai siri jelajah ini termasuk tiga penjaga gol, tujuh pemain pertahanan, lapan pemain tengah dan lima penyerang.

“Setelah hampir dua tahun tiada sebarang siri jelajah yang dapat diatur buat skuad senior lelaki kebangsaan ekoran Covid-19, skuad bimbingan

Arul Selvaraj akan terbang ke United Kingdom atas jalinan kerjasama antara KHM dan Great Britain Hockey.

“Sebanyak 10 perlawanan diatur buat skuad negara sepanjang di sana. Ini termasuk empat perlawanan menentang pasukan kelab dan tujuh perlawanan menentang pasukan kebangsaan seperti Ireland, Wales, dan Perancis,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Ahmad Najmi, perlawanan tersebut juga akan digunakan Arul bagi menilai prestasi skuad bimbingannya termasuk melihat di mana tahap pasukannya itu untuk setakat ini.

“Selain itu, Siri Jelajah United Kingdom ini juga turut dijadikan sebagai salah satu siri persediaan skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 yang juga merupakan perlawanan kelayakan bagi Hoki Piala Dunia 2023,” katanya.

Sementara itu, Arul menjelaskan siri jelajah itu amat diperlukan oleh skuad negara selepas lama tidak beraksi selain kesukaran untuk mendapatkan perlawanan berkualiti di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Di sini kami tidak mendapat perlawanan berkualiti dan sebab itu kami perlu keluar ke luar negara. Kami akan bermula dengan empat perlawanan persahabatan dengan pasukan kelab dan selepas itu masing-masing dua perlawanan dengan Ireland, Wales dan Perancis.

“Tujuan utama untuk melihat konsep permainan kita dan sudah tentu harapan untuk capai mata untuk memperbaiki ranking kita,” katanya.

Mengenai pemilihan pemain, Arul juga teruja dapat membawa beberapa pemain muda ke dalam skuad negara dalam saingan jelajah kali ini.

“Sebelum ini kita buat pemilihan 22 pemain cuma kita simpan sedikit slot untuk pasukan junior sebab apabila pemilihan dibuat saya tidak mengambil kira pemain remaja kerana memberikan mereka persiapan menghadapi Piala Dunia Remaja.

“Tetapi apabila sudah ditunda, saya dapat peluang ambil beberapa pemain muda untuk jelajah kali ini,” katanya.