Terengganu kesan 74,910 individu dewasa belum divaksin

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu sedang mengesan 74,910 golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas yang direkodkan masih belum mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu dilakukan bagi membantu meningkatkan kadar vaksinasi di negeri itu seterusnya membantu negara mencapai imuniti kelompok (herd immunity) menjelang Oktober depan.

Menurutnya, golongan terlibat dinasihatkan segera mendapat suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) terdekat melalui pelbagai kaedah antaranya tanpa janji temu (walk-in) atau melalui MySejahtera.

"Mengikut unjuran penduduk, terdapat kira-kira 74,910 penduduk dewasa yang belum mendapat suntikan.

"Justeru, kita memerlukan kerjasama semua pihak untuk sama-sama mencari dan mengajak mereka yang belum mendapatkan suntikan supaya segera berbuat demikian," katanya ketika sesi penggulungan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, suntikan dos pertama vaksin Covid-19 bagi 58.3 peratus populasi dewasa di negeri itu telah mencapai 90 peratus manakala dos kedua adalah 70 peratus.

Katanya, beliau percaya Terengganu mampu beralih ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekiranya 90 peratus daripada populasi dewasa di negeri ini telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 Terengganu merekodkan daerah Dungun, Setiu dan Besut mencatatkan kadar vaksinasi rendah berbanding daerah-daerah lain di negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan keadaan disebabkan penduduk di daerah berkenaan telah mendapatkan suntikan vaksin di daerah lain atau menerima suntikan di negeri lain.

Jelas beliau, usaha mengesan individu terbabit dilakukan di semua peringkat termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) namun belum berjaya.

"Kita amat berharap mereka yang belum divaksin dan layak menerima suntikan itu dapat tampil untuk menunaikan tanggungjawab demi kemaslahatan semua.

"Suntikan kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun juga akan dimulakan tidak lama lagi, kita harap semua ibu bapa dan penjaga bersetuju membenarkan anak-anak menerima suntikan agar para pelajar dapat menghadiri persekolahan dalam suasana lebih selamat," katanya.