Dua individu mohon tangguh prosiding ekstradisi ke AS

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki warga Malaysia yang dikehendaki oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) berhubung kesalahan pengubahan wang haram dan jenayah siber di negara itu memohon prosiding ekstradisi mereka di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Ahli perniagaan, Wong Ong Hua, 47, dan penganalisis komputer, Ling Yang Ching, 33, memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi pada Selasa bagi mencabar kesahihan Seksyen 4 dan 20 Akta Ekstradisi.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata, peguam kedua-dua lelaki itu, Tey Jun Ren memaklumkan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid bahawa anak guamnya memfailkan permohonan penangguhan prosiding ekstradisi di Mahkamah Sesyen sementara menunggu selesai tuntutan mahkamah itu.

“Jabatan Peguam Negara akan memfailkan balasan rasmi kepada permohonan Wong dan Ling untuk menghentikan kes ekstradisi,” kata Mohd Ashrof semasa dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata, mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Oktober untuk mendengar permohonan Ling dan Wong bagi menangguhkan kes ekstradisi serta mengarahkan Jabatan Peguam Negara supaya memfailkan afidavit balasan permohonan itu sebelum 29 September.

Pada 3 September lepas, pihak berkuasa AS memohon supaya kedua-dua suspek diekstradisi ke negara itu dan Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk mematuhi permohonan tersebut mengikut Akta Ekstradisi 1992 serta perjanjian ekstradisi antara kerajaan Malaysia dan AS.

Kedua-dua lelaki itu akan didakwa di AS atas 23 tuduhan termasuk pencurian identiti, penipuan akses peranti, pelanggaran Akta Penipuan dan Penyalahgunaan Komputer serta pendaftaran nama domain secara salah. - Bernama

Artikel Berkaitan: