SJR di Perak kekal, kompaun masih dikeluarkan

Mior Faridalathrash (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Inspektor Tie Ngie Sieng.
Mior Faridalathrash (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Inspektor Tie Ngie Sieng.
A
A
A

TELUK INTAN - Sekatan jalan raya (SJR) antara daerah dan sempadan negeri di seluruh Perak masih dikekalkan, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang cadangan untuk menutup atau mengurangkan sekatan memandangkan negeri ini masih berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang tidak membenarkan perjalanan antara daerah dan negeri.

"Kegiatan rentas daerah hanya kepada mereka yang telah mendapat dua dos vaksin dan ketika ini di Perak juga belum sampai satu peringkat yang memuaskan (kadar vaksin lengkap).

"Jadi apabila melalui sekatan jalan raya, polis perlu periksa untuk pastikan kesahihan mereka yang telah mendapatkan dua dos vaksin.

"Atas faktor itu, SJR di Perak dikekalkan terutama yang bersempadanan dengan negeri lain antaranya Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor sehinggalah satu keputusan lain dibuat oleh pihak kerajaan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini pada Rabu.

Pada Mei lalu, polis Perak menambah 31 lagi SJR menjadikan keseluruhan 58 SJR dengan penugasan pegawai polis seramai 933 orang berikutan larangan merentas daerah dan negeri yang dikuatkuasakan kerajaan.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, kompaun berkaitan kesalahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 masih dikeluarkan dengan purata antara 25 hingga 30 kes sehari.

"Secara keseluruhan kadar pematuhan di negeri ini adalah baik, kita ada pasukan pemantau di setiap daerah untuk lakukan pemantauan dan kita dapati pelanggaran beberapa peraturan SOP itu masih berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas pematuhan dan jumlah pengunjung ke lokasi rekreasi dan riadah di negeri ini, beliau berkata, keadaan setakat ini adalah terkawal.

"Kalau tengok di media sosial ada di sesetengah kawasan tertentu di seluruh negara jadi tumpuan ramai, tetapi di Perak masih lagi terkawal.

"Kita ada pasukan pemantau dan jika ada aduan pelanggaran SOP, maka pasukan ini akan turun untuk pastikan pematuhan itu dikekalkan," katanya.

Dalam sidang akhbar itu, Mior Faridalathrash turut menyampaikan sijil penghargaan daripada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain kepada Inspektor Tie Ngie Sieng dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Hilir Perak atas komitmen dalam tugas penyiasatan dan prestasi cemerlang mencapai kadar pertuduhan yang memuaskan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.