PPN Fasa 2: Polis pantau pematuhan SOP, kompaun jika ingkar

Ashari melakukan gimik melupuskan barang kes di IPD Wangsa Maju, di sini pada Rabu.
Ashari melakukan gimik melupuskan barang kes di IPD Wangsa Maju, di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Daerah Wangsa Maju akan meningkat pemantauan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 2.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya akan melaksanakan rondaan di kawasan tumpuan orang ramai.

"Kita pantau kawasan tumpuan orang ramai seperti di Taman Tasik Titiwangsa dan Taman Tasik Ampang Hilir.

"Kita akan menasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP, sekiranya kita mendapati individu berkenaan masih berdegil, kita akan mengambil tindakan tegas seperti mengeluarkan kompaun," katanya katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini pada Rabu.

Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa Jumaat lalu.

Pada 8 September, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peralihan itu memberi kelonggaran kepada penduduk yang lengkap menerima vaksin, termasuk kebenaran merentas daerah.

Dalam perkembangan berasingan, Ashari memaklumkan jumlah barang kes yang diluluskan untuk tindakan lupus dan musnah di bawah perintah mahkamah adalah sebanyak 1,578 barang kes membabitkan nilai berjumlah RM45,000.

"Ia melibatkan 96 kertas siasatan yang terdiri daripada 1,319 mesin komputer, 41 komputer riba, 206 telefon bimbit, sembilan helaian kertas perjudian, dua set mahjong dan satu keping daun terup yang disiasat antara 2014 hingga 2020," katanya.

Artikel Berkaitan: