9 suspek ditahan bantu siasatan pembuangan sisa kimia

Jentera bomba di Kampung Sri Baru Sri Aman yang mengalami pencemaran bau dari bahan kimia.
Jentera bomba di Kampung Sri Baru Sri Aman yang mengalami pencemaran bau dari bahan kimia.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai sembilan suspek dipercayai terlibat dalam kejadian pembuangan sisa kimia di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini pada malam Selasa berjaya ditahan setakat ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata sembilan suspek itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes yang menyebabkan empat penduduk sesak nafas dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan, manakala 102 lagi terpaksa dipindahkan sejak malam Selasa.

"Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah melakukan pemeriksaan mengejut ke atas beberapa premis yang disyaki terbabit menyebabkan pencemaran di tali air dan Sungai Tawakal di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, termasuk sebuah kilang pirolisis tayar.

"JAS turut menjalankan pemantauan kualiti udara di sekitar kawasan kampung yang terjejas namun sehingga jam 2 petang tadi didapati kualiti udara bertambah baik," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Vidyananthan berkata, tindakan tegas dengan hukuman setimpal akan dikenakan ke atas penjenayah alam sekitar.

"Kes disiasat di bawah seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu (melupuskan bahan buangan terjadual secara haram) yang mana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000.

"JAS mengalu-alukan maklumat yang diberikan oleh orang awam bagi membolehkan tindakan pantas diambil dalam membanteras insiden pencemaran alam sekitar," katanya.

Dalam pada itu, Vidyananthan turut meminta orang ramai menjadi mata dan telinga JAS dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal eaduan JAS di eaduan.doe.gov.my.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, Seelong, di sini dilaporkan pengsan dan sesak nafas sehingga dikejarkan ke hospital dalam kejadian pencemaran bau busuk dipercayai bahan kimia kira-kira jam 10.30 malam Selasa.

Sementara itu, kira-kira 102 penduduk kampung daripada 36 keluarga terpaksa dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sinaran Baru.