Kerajaan Terengganu lulus RM100,000 peruntukan beli vaksin LSD

Dr.Azman Ibrahim
Dr.Azman Ibrahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM100,000 bagi pembelian vaksin penyakit ‘Lumpy Skin Disease (LSD) pada ternakan lembu yang kini dikesan mula menular sekitar Kuala Nerus dan Setiu sejak Mei lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, suntikan vaksin penting bagi mengelak penularan LSD (penyakit kulit) terus merebak ke daerah lain.

"Penumpuan suntikan vaksin bergantung kepada kawasan yang berisiko tinggi, bagaimanapun sehingga kini, wabak LSD di negeri ini masih di bawah kawalan kerana daripada 60 ternakan lembu disyaki positif hanya 10 ekor lembu yang disahkan positif selepas dibuat ujian klinikal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Datuk Muhamad Pehimi Yusof (BN-Jertih) pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, pada Rabu.

Tambah beliau, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu sudah memiliki prosedur operasi standard (SOP) untuk menguruskan ternakan yang dikesan positif dengan wabak tersebut.

"Lembu akan dikuarantin serta-merta untuk diberikan rawatan dan sekiranya didapati tidak dapat diselamatkan, kami akan lupuskan ternakan terbabit dengan kaedah penyembelihan.

“JPV akan membayar ganti rugi sebanyak RM800 bagi setiap lembu yang dilupuskan di Rumah Sembelihan Veterinar di Gong Badak, Kuala Nerus.

“Diharap pendekatan itu sekurang-kurangnya mampu melegakan penternak, selain mengelak kerugian lebih besar,”katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, orang ramai turut dinasihatkan tidak perlu khuatir tentang penularan penyakit LSD ini pada ternakan lembu kerana ia tidak menjangkiti manusia, malah dagingnya selamat dimakan.

Sementara itu, Azman berkata, jumlah ternakan lembu di negeri ini pada tahun 2020 merekodkan peningkatan daripada 85,437 ekor berbanding 79,167 ekor (2019) dan 87,783 ekor (2018).

Katanya, bilangan ternakan kerbau pula menunjukkan penurunan pada tahun 2020 iaitu 5,085 ekor berbanding 8,004 ekor (2019) dan 8,508 ekor (2018).