Cek RM13 juta bukan rasuah tapi bina masjid, pusat tahfiz

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, bahawa cek berjumlah RM13 juta yang diberi kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid melalui Tetuan Lewis & Co yang juga pemegang amanah Yayasan Akalbudi, bukan rasuah sebaliknya untuk pembinaan masjid dan pusat tahfiz di Bagan Datuk, Perak.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik berkata demikian ketika berhujahan di akhir pendakwaan bagi kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana yayasan membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Atas faktor itu, Hisyam yang mewakili Ahmad Zahid berkata, pemberian cek RM13 juga itu tidak boleh dikategorikan sebagai rasuah.

Ini kerana katanya, ketika memberi keterangan sebelum ini, saksi ke-36, pemborong tekstil, Junaith Asharab Md Shariff mengesahkan RM13 juta itu adalah sumbangan untuk amal kebajikan.

"Mahkamah perlu menerima keterangan itu kerana pihak pendakwaan juga tidak membantah.

"Jadi, pertuduhan 12 dan 13 mengikut Seksyen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu digugurkan kerana Junaith sudah memberi keterangan, bahawa kesemua cek berjumlah RM13 juta itu, bukan rasuah," katanya.

Sementara itu, bagi pertuduhan ke-11 membabitkan cek jumlah RM250,00, beliau berkata, ia merupakan pinjaman kepada adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan ia sudah dibayar semula kepada Junaith.

Beliau berkata, tiada bukti dikemukakan kepada mahkamah, menunjukkan Nasaee memberitahu abangnya bahawa dia membuat janji mengenai projek kepada Junaith.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tiada kena-mengena mahupun mendapat imbuhan daripada pinjaman wang RM250,000 yang diberikan kepada adiknya oleh seorang ahli perniagaan.

Beliau berkata, anak guamnya tidak mengetahui pinjaman tersebut yang mana ia telah dibayar semula oleh Mohamad Nasaee dengan memasukkannya ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Zahid, 69, didakwa 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu.

Bagi tuduhan ke-12, beliau didakwa menerima suatu suapan daripada syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services, iaitu 13 keping cek RHB Islamic Bank Berhad bernilai RM8 juta milik syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services melalui Junaith Asharab Md Shariff menggunakan akaun Maybank milik Lewis & Co.

Bagi tuduhan ke-13, Zahid didakwa menerima suatu suapan daripada syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services iaitu 10 keping cek RHB Islamic Bank Berhad bernilai RM5 juta milik Berani & Jujur Trading melalui Junaith Asharab Md Shariff menggunakan akaun Maybank milik Lewis & Co.

Zahid didakwa melakukan kesalahan itu sebagai dorongan bagi melakukan suatu transaksi yang dicadangkan berlaku, iaitu membantu syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services untuk mendapatkan projek-projek MyEG di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

Prosiding berlangsung bersambung Isnin depan.