Jumpa pistol dalam serbuan dadah

Mior Faridalathrash menunjukkan pistol yang ditemui dalam satu serbuan dadah di sebuah rumah di Pekan Baru, Teluk Intan awal pagi Rabu.
Mior Faridalathrash menunjukkan pistol yang ditemui dalam satu serbuan dadah di sebuah rumah di Pekan Baru, Teluk Intan awal pagi Rabu.
A
A
A

TELUK INTAN - Sepucuk pistol bersama 34 butir peluru ditemui dalam satu serbuan dadah di sebuah rumah di Pekan Baru di sini awal pagi Rabu.

Serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sekitar jam 2.30 pagi itu turut menahan seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai pengedar dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemeriksaan dalam rumah berjaya menjumpai 10 peket lutsinar berisi dadah disyaki heroin, empat peket disyaki methamphetamine dan satu peket plastik berisi ganja bernilai lebih RM87,000.

Menurutnya, turut dirampas sepucuk pistol dan satu kelopak bersama 34 butir peluru yang diletakkan di dalam sebuah bilik di rumah terbabit.

Sebahagian dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Pekan Baru Teluk Intan awal pagi Rabu.
Sebahagian dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Pekan Baru Teluk Intan awal pagi Rabu.

"Suspek dipercayai telah aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sekitar lapan bulan lalu dengan menyasarkan penagih tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Keseluruhan dadah dianggarkan seberat 2.5 kilogram ini dipercayai bagi edaran sekitar kawasan Teluk Intan dan boleh dibekalkan kepada hampir 3,500 penagih," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan mendapati senjata api berkenaan digunakan suspek bagi melindungi diri daripada kegiatan pengedaran dadah yang dijalankan.

Katanya, semakan lanjut menunjukkan suspek yang tidak bekerja itu mempunyai lima rekod lampau masing-masing tiga berkaitan kesalahan jenayah dan dua penyalahgunaan dadah.

"Saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja.

"Suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 21 September ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971," katanya.