7,269 pelajar di Terengganu tidak ikuti PdPR

Satiful Bahri
Satiful Bahri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seramai 7,629 atau empat peratus daripada keseluruhan 174,510 pelajar di negeri ini dikategorikan sebagai tercicir kerana tidak mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dijalankan sehingga Julai lalu.

Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, perkara itu perlu menimbulkan kebimbangan dan tindakan lanjut telah diambil bagi mengelak peningkatan jumlah pelajar yang tercicir.

"Pelajar tidak mengikuti PdPR dikategorikan sebagai tercicir dan perkara itu diambil serius oleh kerajaan negeri di mana kita kenal pasti kebanyakan pelajar terlibat adalah mereka yang mempunyai bilangan adik beradik ramai yang masih belajar.

"Bebeberapa tindakan juga telah dijalankan oleh pihak sekolah antaranya mengadakan kunjungan atau panggilan telefon kepada keluarga murid-murid berkenaan," katanya bagi menjawab soalan diajukan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (BN-Seberang Takir) ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Satiful berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah membangunkan sistem pelaporan bagi memantau penglibatan pelajar dalam PdPR.

Katanya, tiga kaedah utama PdPR dilaksanakan iaitu PdPR secara dalam talian (online) sepenuhnya, PdPR secara luar talian (offline) seperti edaran bahan bercetak (modul) terutama untuk murid yang tiada peranti dan akses internet serta gabungan PdPR secara dalam talian dan luar talian.

Satiful turut menjelaskan, kerajaan negeri menyediakan 20 Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) untuk kemudahan pelajar mengikuti PdPR secara percuma.

Katanya, pusat itu menawarkan kemudahan komputer dan akses kepada internet khususnya kepada golongan B40, selain kerajaan juga berusaha menyalurkan bantuan kepada golongan tersebut seperti bantuan peranti, komputer, tablet kepada murid sekolah rendah dan sekolah menengah.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) turut terlibat dalam memastikan pembekalan peranti digital kepada murid B40 melalui inisiatif CERDIK.

"Ia merupakan pinjaman kepada penerima yang terdiri daripada murid B40 dalam kalangan murid Tingkatan 3 dan Tahun 4 di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

"Data sekolah dan penerima diperoleh dari Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," ujarnya.