Hanya dua peratus vaksin Covid-19 disalurkan ke Afrika: WHO

Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Seunia (WHO) pada Selasa memaklumkan hanya dua peratus dari 5.7 bilion dos vaksin Covid-19 telah disalurkan ke benua itu.

WHO mensasarkan sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk setiap negara menerima vaksin menjelang akhir tahun ini dan 70 peratus pada pertengahan tahun depan.

Bagaimanapun, hanya dua negara di Afrika yang mencapai sasaran 40 peratus, angka paling rendah berbanding wilayah lain, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat media secara maya.

"Ia bukan disebabkan Afrika tidak mampu atau berpengalaman memberikan suntikan Covid-19. Ini kerana mereka dilupakan penduduk dunia dan jaun ketinggalan di belakang berbanding negara lain," katanya, lapor Agensi Berita Xinhua.

Tahun lalu, WHO dan sekutunya melancarkan COVAX, sebuah inisiatif global dalam memastikan akses adil dan saksama terhadap perolehan vaksin Covid-19.

Sehingga kini, COVAX telah menyalurkan lebih 260 juta dos vaksin Covid-19 ke 141 negara. Namun, program itu menghadapi beberapa cabaran terutama daripada pengeluar vaksin yang lebih mengutamakan perjanjian dua hala serta negara berpendapatan tinggi untuk perolehan bekalan global.

WHO, Kesatuan Afrika dan COVAX meminta pengeluar vaksin mengutamakan program COVAX serta mendesak negara yang berikrar untuk berkongsi vaksin termasuk teknologi dan harta intelek supaya berbuat demikian.

Pada Ogos, WHO juga menggesa pemberian dos tambahan ditangguhkan sehingga akhir September untuk membolehkan vaksin itu disalurkan kepada golongan rentan di seluruh dunia yang masih belum menerima suntikan. - Bernama

Artikel Berkaitan: