Lelaki mabuk pandu melawan arus ditahan

Lelaki tersebut memandu melawan arus di Lebuh Raya Kesas arah Shah Alam dari KM23 hingga KM20.
Lelaki tersebut memandu melawan arus di Lebuh Raya Kesas arah Shah Alam dari KM23 hingga KM20.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang lelaki ditahan kerana memandu secara melawan arus sejauh tiga kilometer (km) dari KM23 hingga KM20 Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) di sini pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan pemandu berusia 36 tahun itu pada jam 12.01 pagi.

"Seorang lelaki tempatan memandu kereta jenis Toyota Vios berwarna emas secara melawan arus dari susur bandar Puteri menghala ke tol Kota Kemuning.

"Ujian S-D2+ telah dilakukan di Balai Polis Trafik Klang Selatan dan mendapati, pemandu positif (alkohol) bacaan 400 mg/100ml dan ujian Evidential Breathalyzer (EBA-II) 215mg/100ml," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Shamsul Amar, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai tiga rekod saman trafik dan tiada rekod kesalahan jenayah.

Katanya, suspek yang beralamat di Bandar Sunway, Petaling Jaya ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kereta yang dipandunya turut disita untuk tindakan lanjut.

"Tangkapan dilakukan di lokasi kejadian oleh peronda lebuh raya (EMPV). Suspek memberi kerjasama dan telah dibebaskan dengan jaminan polis," ujarnya.

Artikel Berkaitan: