Kerajaan disaran perkenal pakej cukai pemulihan Covid-19

Najib ketika berucap pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
Najib ketika berucap pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menyenaraikan beberapa cadangan bagi membantu kerajaan memperoleh hasil atau pendapatan untuk negara bagi mendepani proses pemulihan ketika fasa endemik.

Beliau berkata, untuk menjamin kelangsungan sebuah kerajaan dan ekonomi adalah amat penting mengimbangkan antara perbelanjaan dengan hasil.

Justeru menurutnya, kerajaan disaran agar memperkenalkan pakej cukai pemulihan Covid-19 sementara selama dua tahun.

"Misalnya, cukai durian runtuh, cukai pembangunan kondo mewah, cukai duti stamp transaksi pertukaran harta dan perdagangan saham, kenaikan cukai peribadi kepada golongan berpendapatan paling tinggi.

"Pakej cukai pemulihan Covid-19 ini adalah untuk suatu tempoh yang terhad sahaja sehingga dua tahun lamanya ataupun sehingga ekonomi dan fiskal kerajaan telah memulih," katanya ketika membahaskan titah ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Rabu.

Najib menambah, kerajaan juga disarankan agar menuntut perkongsian hasil untung yang diperoleh industri perkhidmatan atas talian daripada syarikat-syarikat gergasi antarabangsa seperti Amazon, Netflix, YouTube, Google, Facebook yang selama ini mengaut keuntungan tetapi tidak pernah dicukai oleh negara.

"Ini bukan perkara baharu, negara lain seperti Australia dan Indonesia pernah menuntut serta dibayar oleh syarikat-syarikat tersebut.

"Satu lagi contoh bagaimana kerajaan boleh mendapatkan pendapatan ialah dengan menjual sebahagian saham dalam syarikat Digital Nasional Berhad yang sedang membina infrastruktur 5G di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Penjualan ini boleh dibuat kepada syarikat-syarikat telco tempatan untuk menjana pendapatan negara serta mengurangkan beban perbelanjaan bagi projek yang bernilai RM15 bilion ini," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan untuk memperkenalkan program kepada bank di negara ini agar membiayai 70 peratus daripada pembelian saham bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham yang dibenarkan.

Katanya, ketika ini harga saham berada pada paras yang rendah, bermaksud ada banyak syarikat membayar dividen yang lebih tinggi berbanding kadar faedah bank.

"Oleh itu, saya mencadangkan kerajaan boleh memperkenalkan program kepada bank-bank Malaysia agar membiayai 70 peratus daripada pembelian saham bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham yang dibenarkan.

"Ini samalah seperti skim pinjaman ASB yang sudah dilaksanakan sejak dahulu. Rakyat mampu membina kekayaan apabila harga saham naik. Jika tidak naik pun, kadar dividen masih boleh membiayai kos faedah.

"Memandangkan pasaran saham melambangkan keyakinan dan kecergasan ekonomi, kerajaan perlu melaksanakan langkah yang mampu menambah keyakinan pelabur untuk menjadikan pasaran saham Malaysia lebih dinamik, lebih menarik dan lebih merangsang perhatian pelabur," katanya.

Tambah beliau, antara langkah yang boleh diambil termasuk menggantung sekali lagi 'regulated short selling' serta 'script borrowing and lending' sekurang-kurangnya selama enam bulan seperti dilaksanakan tahun lalu bagi menstabilkan pasaran saham dan melindungi pelabur runcit.