X

Kindly register in order to view this article
!

PH beri amaran MoU akan terbatal jika tidak patuhi syarat dipersetujui

Lim Guan Eng
A
A

KUALA LUMPUR - Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) akan terbatal dengan sendirinya jika syarat yang dipersetujui bersama sebelum ini tidak dipatuhi.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) berkata, antara syarat yang dipersetujui adalah pembangkang akan dilibatkan dalam perbincangan dan kerajaan juga perlu mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan.

"Saya ingin tegaskan di sini, apa yang berlaku (MoU) adalah persetujuan oleh PH bahawa sekiranya ada undi percaya kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), pihak pembangkang akan ambil sikap berkecuali.

"Dalam Belanjawan 2022 (pula) dengan prasyarat bahawa ada perbincangan dengan pihak parti pembangkang, input (oleh) kita akan diberi pertimbangan, maka kita sedia berkecuali.

"Selain itu, syarat yang termeterai dalam MoU yang kita tandatangani mesti dilaksanakan. Kalau tidak (dilaksanakan), maka ia akan terbatal dengan sendirinya," kata beliau ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tambahnya, tindakan PH bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan kerajaan itu adalah demi kepentingan rakyat.

"Kami ikhlas, kami jujur mahukan tumpuan diberikan untuk melawan Covid-19 dan selamatkan ekonomi Malaysia.

"Ini kerana, nyawa dan mata pencarian rakyat lebih penting daripada segala-galanya," ujar beliau.

Pada Isnin, politik Malaysia mencatat sejarah buat kali pertama apabila kerajaan dan pembangkang menandatangani MoU dalam urusan pentadbiran negara.

Upacara menandatangani MoU yang dikenali sebagai Transformasi dan Kestabilan Politik itu diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili kerajaan.

Bagi pihak Pakatan Harapan (PH) pula, diwakili Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pemeteraian itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!