Peningkatan mendadak graduan perubatan sukarkan lantikan tetap

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peningkatan mendadak graduan perubatan sejak tahun 2016 telah menyebabkan wujud tekanan untuk melantik mereka dengan jawatan tetap dalam perkhidmatan awam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, antara tahun 2009 hingga 2015, keluaran graduan perubatan hanya sekitar 3,000 setahun, namun bermula tahun 2016, jumlah graduan perubatan adalah antara 5,000 hingga 6,000 orang setiap tahun.

"Berdasarkan perkembangan ini, kerajaan pada 13 Oktober 2016 telah memutuskan supaya graduan perubatan ditawarkan pelantikan secara kontrak bagi menjalani latihan siswazah dan melengkapkan khidmat wajib selaras dengan obligasi di bawah Akta Perubatan 1971.

"Selepas melengkapkan latihan siswazah dan khidmat wajib, graduan perubatan mengharapkan supaya mereka diserap sebagai pegawai perubatan lantikan tetap.

"Bagaimanapun, berikutan pelaksanaan Dasar Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam dan kawalan perbelanjaan kewangan secara berhemah, bukan semua graduan perubatan yang melengkapkan latihan siswazah dapat dilantik secara tetap disebabkan perjawatan yang terhad,"katanya di Dewan Rakyat ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 pada Rabu.

Beliau menjawab soalan lisan Rosnah Aluai (PH-Tangga Batu) mengenai rancangan kerajaan untuk menjamin masa depan doktor kontrak supaya mereka tidak mengalami 'brain drained' pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Khairy berkata, buat masa ini, pegawai perubatan lantikan kontrak diberi emolumen yang setara dengan pegawai lantikan tetap.

Katanya, daripada aspek pemberian kemudahan lain seperti kemudahan cuti, perubatan, kuarters, pinjaman kenderaan dan komputer, ia diberi berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pegawai perubatan lantikan kontrak turut mendapat kemudahan cuti seperti Cuti Rehat, Cuti Sakit, Cuti Haji, Cuti Bersalin, Cuti Tanpa Rekod Isteri Bersalin, Cuti Tanpa Rekod Kematian Ahli Keluarga Terdekatdan Cuti Tanpa Rekod Perayaan. Pegawai Perubatan lantikan kontrak juga telah dipanjangkan kemudahan rawatan perubatan kepada ibu bapa mulai tahun 2016," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada 14 Julai 2021, kerajaan juga telah bersetuju dengan pemanjangan Cuti Tugas Khas Perubatan (Hazard Leave), Cuti Tibiserta Tambang Mengunjungi Wilayah Asal kepada pegawai perubatan lantikan kontrak.

Katanya, kerajaan juga bersetuju supaya pegawai perubatan lantikan kontrak yang telah melengkapkan khidmat wajib dua tahun dilanjutkan tempoh kontrak untuk dua tahun lagi bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan membolehkan pegawai membuat persediaan bagi menyambung pengajian kepakaran.

"Selain itu, dalam tempoh dua tahun lanjutan kontrak ini, sekiranya pegawai ditawarkan pengajian kepakaran maka pegawai akan ditawarkan kontrak lanjutan selama empat tahun lagi untuk melengkapkan pengajian kepakaran.

"Kerajaan juga bersetuju agar KKM dan agensi berkaitan menyediakan satu pelan komprehensif yang merangkumi tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani isu doktor kontrak ini. Sehubungan dengan itu, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan pada 20 Ogos 2021," katanya.

Jawatankuasa itu akan memberi keutamaan kepada enam perkara termasuk pemberian Hadiah Latihan Persekutuan kepada pegawai perubatan dan pergigian kontrak mengikuti pengajian kepakaran; mewujudkan perjawatan tetap tambahan mengikut keperluan fasiliti kepada Agensi Pusat selain akan meningkatkan lagi peluang pekerjaan dalam perkhidmatan kesihatan.