X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Pengusaha bas sekolah rayu bantuan kewangan

Lebih 30 peratus daripada kira-kira 5,000 pengusaha perkhidmatan itu di Lembah Klang terpaksa gulung tikar dan beralih kepada pekerjaan lain demi kelangsungan hidup. Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Terpaksa menyembunyikan kenderaan kerana dikejar pihak kredit serta putus bekalan makanan, merupakan antara situasi dialami pengusaha bas dan van sekolah yang terjejas teruk selama hampir dua tahun sejak penularan Covid-19.

Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, Mohd Haron Mohd Sidik berkata, ada juga yang terpaksa menjual kenderaan mereka di bawah harga pasaran untuk menyara keluarga sekali gus mengurangkan jumlah pengusaha diperlukan bagi menampung permintaan dan keperluan kepada perkhidmatan itu pada masa akan datang.

“Harga van boleh dijual dengan harga RM20,000 tetapi disebabkan sekolah tidak dibuka, terpaksa dijual dengan harga RM6,000 sahaja,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Beliau berkata, cabaran itu turut menyebabkan lebih 30 peratus daripada kira-kira 5,000 pengusaha perkhidmatan itu di Lembah Klang terpaksa gulung tikar dan beralih kepada pekerjaan lain demi kelangsungan hidup.

“Ramai yang terpaksa balik kampung, jadi penjual nasi lemak atau buah dan tidak kurang juga yang telah berputus-asa untuk meneruskan perniagaan kerana sudah tidak mampu lagi membayar hutang kenderaan,” katanya.

Justeru Mohd Haron memohon agar kerajaan memberi bantuan subsidi kewangan untuk meneruskan operasi, susulan pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Oktober ini.

Pihaknya antara lain mencadangkan untuk kerajaan memberi bantuan sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan atau secara sekali beri sebanyak RM1,800 menerusi Belanjawan 2022 yang dijangka dibentangkan hujung bulan depan.

Beliau berkata, bantuan itu antara lain diperlukan untuk bayaran kos pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), selain membantu menampung keperluan harian pengusaha yang majoritinya terjejas sumber pendapatan.

“Kami buntu untuk memulakan operasi nanti kerana sudah tiada duit untuk Puspakom dan menghidupkan insurans serta cukai jalan, semua wang simpanan sudah habis digunakan, sekolah pula sekejap buka dan sekejap tutup,” katanya yang telah menyerahkan memorandum berkaitan perkara itu kepada Kementerian Pengangkutan pada minggu lepas.

Mohd Harun berkata, pengusaha yang masih kekal mengusahakan perniagaan ini juga diselubungi rasa bimbang dengan kaedah murid hadir secara penggiliran kerana kemungkinan ibu bapa enggan membayar tambang penuh.

“Saya merayu, kerajaan tolong kami dengan segera kerana kami mula dikategorikan sebagai ‘spesis terancam’. Kami tidak tahu bagaimana hendak mulakan perniagaan nanti jika sekolah dibuka,” katanya.

Pada 12 September, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Oktober ini mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!