Pemain, pegawai Negeri Sembilan dapat suntikan semangat

Tunku Syed Razman (dua, kanan) menyampaikan jersi kedua NSFC kepad Aminuddin pada Majlis Makan Malam Pasukan NSFC di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama
Tunku Syed Razman (dua, kanan) menyampaikan jersi kedua NSFC kepad Aminuddin pada Majlis Makan Malam Pasukan NSFC di sebuah hotel pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KERAJAAN Negeri Sembilan memberi sumbangan wang tunai RM2,000 kepada setiap pegawai dan pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) atas kejayaan layak ke saingan Liga Super musim hadapan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sumbangan itu sebagai menghargai usaha dan perjuangan skuad Hobin Jang Hobin yang bukan sahaja layak ke saingan Liga Super tetapi Piala Malaysia tahun hadapan.

“Diharapkan sumbangan kerajaan negeri ini akan memberi momentum baharu serta menaikkan semangat pasukan untuk melakukan yang terbaik dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis Makan Malam Bersama Pasukan NSFC di Seremban yang turut dihadiri Presiden PBNS, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idris Al-Qadri di sini.

Aminuddin yang juga Penasihat PBNS berkata, apabila Negeri Sembilan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihaknya akan membuka stadium kepada orang ramai bagi menyaksikan perlawanan bola sepak.

Sementara itu, Tunku Syed Razman berkata, pihaknya akan lebih bersiap sedia daripada segala aspek termasuk kewangan dan pengurusann untuk bersaing di Liga Super pada musim hadapan.

NSFC mendahului carta Liga Premier dengan 38 mata, diikuti Sarawak United 37 mata.

Penentuan juara Liga Premier akan diadakan pada 21 September ini yang menyaksikan NSFC menentang PDRM FC manakala Sarawak United bertemu Johor Darul Ta’zim II. - Bernama

Artikel Berkaitan: