X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Sekolah dibuka secara berfasa petunjuk negara ke arah endemik

Mohd Radzi pada sidang media khas mengenai kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan bagi pembukaan sesi persekolahan di Wisma Pertahanan hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat mulai 3 Oktober mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri memberi gambaran bahawa negara kini sedang bergerak ke peringkat endemik.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pendekatan secara berfasa itu juga menunjukkan bahawa negara akan kembali kepada keadaan sediakala.

“Dalam konteks fasa PPN ini, kita sedang bawa negara kembali kepada keadaan sedia kala dengan memastikan tatacara dan peraturan yang kita bawa itu dapat dipatuhi dan sekolah dapat dibuka dengan selamat,” katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini pada Rabu.

Mengenai mesyuarat bersama Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, beliau berkata, ia bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan pembukaan sekolah dapat dilaksanakan dengan baik, lancar dan teratur.

Katanya, perancangan itu penting sebagai tekad semua pihak untuk memastikan keselamatan semua pihak terutama murid apabila sekolah dibuka kelak.

Pada Ahad, Mohd Radzi mengumumkan sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan bilangan dalam kelas dan risiko penularan Covid-19.

Pengoperasian sekolah secara bersemuka bermula di Fasa 2 PPN dengan pembukaan untuk sekolah rendah hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sementara untuk sekolah menengah melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober.

Ditanya mengenai tindakan terhadap guru yang memilih untuk tidak divaksin beliau berkata, perkara itu masih dalam perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan akan diumumkan kemudian.

“Kita lihat jumlah yang memilih tidak divaksin sedikit iaitu sekitar 2,500 orang dan kita akan pastikan mereka tidak akan mengajar secara bersemuka, namun akan diberi tugas lain dan pasti akan ada tindakan diambil terhadap mereka,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!