Nelayan Thailand ditemui terdampar

Mangsa dipindahkan ke Hospital Langkawi untuk mendapatkan rawatan lanjut.
A
A

LANGKAWI - Seorang nelayan Thailand ditemui terdampar di Pulau Pasir, Langkawi, semalam, selepas bot yang dinaikinya karam di perairan Satun.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Rozali Mohd Said berkata, mangsa telah dijumpai oleh seorang nelayan tempatan yang sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan tersebut pada jam 1.30 petang.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Yahaya Piah, 41, merupakan salah seorang kru bot nelayan Thailand yang tenggelam di perairan Satun pada 1 Mac yang lalu kira-kira pada jam 10.00 malam.

“Pusat Operasi Maritim Langkawi telah menerima maklumat berkaitan kejadian dari Malaysia-Thailand Border Coordination Office (MTBCO) mengenai sebuah bot nelayan Thailand dengan 9 orang kru telah tenggelam di perairan Satun dan dipercayai telah hanyut memasuki perairan Malaysia.

"MRSC Langkawi telah mengkoordinasikan operasi CARILAMAT yang bertumpu di sempadan Malaysia-Thailand dengan keluasan melebihi 30 batu nautika persegi melibatkan aset-aset dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Dalam kejadian tersebut seramai 8 mangsa telah dijumpai oleh pihak berkuasa Thailand, namun seorang daripadanya telah meninggal dunia," katanya.

Rozali berkata, mangsa telah dihantar ke Klinik Kesihatan Ayer Hangat sebelum dipindahkan ke Hospital Langkawi untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana keadaan mangsa yang amat lemah.

Menurutnya, pihaknya menyeru orang awam melaporkan sebarang aduan jenayah dan kecemasan di laut di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia