Polis siasat dakwaan wanita warga asing disamun, dirogol

Seorang wanita warga asing dakwa disamun dan dirogol ketika sedang joging bersendirian di Tanjong Tokong.
Seorang wanita warga asing dakwa disamun dan dirogol ketika sedang joging bersendirian di Tanjong Tokong.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang wanita warga asing cedera akibat disamun dan mendakwa dirogol dalam satu kejadian di Tanjong Tokong di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika mangsa berusia 24 tahun sedang joging sendirian di kawasan berkenaan.

Menurutnya, mangsa mendakwa dia kemudian diserang secara tiba-tiba dari arah belakang sebelum terjatuh dan pengsan.

“Dia yang mengalami kecederaan pada muka dirawat sebagai pesakit luar di hospital sebelum dibenarkan pulang.

“Berhubung dakwaan mangsa dirogol, hasil pemeriksaan doktor tidak menjumpai sebarang kesan koyakan baru dan setakat ini, hanya telefon bimbit mangsa saja dilaporkan hilang,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, pada Rabu

Soffian berkata, terdapat dua saksi awam yang melihat mangsa berjalan di kawasan tersebut dan siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan.

“Kami minta orang awam jangan buat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun mendatangkan kecederaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: