Sila log masuk terlebih dahulu.

Maritim Malaysia tahan kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran

Sebuah kapal tangki yang berlabuh tanpa kebenaran dan gagal memaklumkan ketibaan di kedudukan 27.5 batu nautika barat daya Sekinchan, Selangor ditahan pada Selasa.
Sebuah kapal tangki yang berlabuh tanpa kebenaran dan gagal memaklumkan ketibaan di kedudukan 27.5 batu nautika barat daya Sekinchan, Selangor ditahan pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal tangki yang berlabuh tanpa kebenaran dan gagal memaklumkan ketibaan di kedudukan 27.5 batu nautika barat daya Sekinchan pada Selasa.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, kapal itu ditahan pada jam 4.30 petang berikutan pengesanan visual melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dan disalurkan kepada bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Benteng Laut dan Op Ehsan untuk diperiksa.

"Kapal yang berdaftar di Kepulauan Marshal itu membawa 24 kru lelaki termasuk nakhoda, berusia antara 18 hingga 60 tahun terdiri daripada warga Greece, Romania dan Filipina mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Rosli berkata, kapal tersebut dalam perjalanan dari Singapura dan singgah berlabuh tanpa kebenaran di perairan Malaysia bagi menunggu arahan tugas seterusnya dari pihak syarikat.

"Siasatan lanjut mendapati nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran.

"Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan gagal memaklumkan ketibaan pula, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 di bawah Kaedah 10(1) Peraturan Pelabuhan jika sabit kesalahan," katanya.

Ujar beliau, perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal tersebut turut dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Maritim Malaysia sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya di perairan Selangor.

"Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia," katanya.