Kementerian Pertahanan bantu kelancaran pembukaan sekolah

Hishammuddin (kiri) dan Mohd Radzi pada sidang media khas mengenai kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi pembukaan sesi persekolahan di Wisma Pertahanan hari ini. -Foto Bernama
Hishammuddin (kiri) dan Mohd Radzi pada sidang media khas mengenai kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi pembukaan sesi persekolahan di Wisma Pertahanan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan akan memberi bantuan dan bekerjasama bagi memastikan pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat mulai 3 Oktober ini berjalan lancar termasuk di semua sekolah dalam kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerjasama itu membabitkan konteks persiapan sebelum pembukaan sekolah seperti susun atur bilik darjah, melancarkan pemberian vaksin kepada murid dan pelajar, menyediakan kit ujian Covid-19 serta memperkasa pusat tuisyen dalam ATM.

"Saya memberi keyakinan, syor dan semangat kepada Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bahawa kita semua sentiasa bersama dengannya sebab apa dia lakukan ini untuk kebaikan mereka (pelajar) dan masa depan mereka," katanya dalam sidang media bersama Radzi di Wisma Pertahanan di sini pada Rabu.

Hishammuddin sebelum itu mengadakan mesyuarat bersama Radzi yang turut disertai Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali; pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN); Markas ATM dan pasukan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sesi persekolahan secara bersemuka bermula 3 Oktober ini adalah mengikut fasa PPN di negeri-negeri menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan dengan kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan jumlah murid dalam kelas dan risiko penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha memperkasakan pusat tuisyen di dalam kem ATM termasuk menambah baik modul pembelajaran serta memberi latihan kepada tenaga pengajar.

Mengenai aspek pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar termasuk anak warga ATM, Hishammuddin berkata, Kor Kesihatan Diraja sentiasa bersedia untuk diatur gerak bila-bila masa bagi membantu Kementerian Kesihatan termasuk melalui Combat Medic Vaccination Team.

Katanya, proses pemberian vaksin kepada guru-guru di sekolah dalam kem ATM seluruh negara berjalan lancar dan setakat ini sebanyak 1,990 daripada 2,169 orang telah melengkapkan vaksinasi mereka.

Artikel Berkaitan:

"Ini perkembangan yang baik terutama dalam konteks kesihatan menjelang permulaan sesi pembelajaran secara bersemuka antara guru dan murid-murid di beberapa buah negeri tidak lama lagi,” katanya. - Bernama