KKM pertimbang doktor kontrak lanjut pelajaran

Sebahagian doktor kontrak yang berarak ketika mengadakan protes secara aman di pekarangan Hospital Melaka pada 26 Julai lalu. - Foto fail Sinar Harian
Sebahagian doktor kontrak yang berarak ketika mengadakan protes secara aman di pekarangan Hospital Melaka pada 26 Julai lalu. - Foto fail Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempertimbangkan agar pegawai perubatan kontrak mendapat peluang melanjutkan pelajaran kepakaran ke peringkat sarjana melalui kemudahan setara dengan Hadiah Latihan Persekutuan, sama seperti pegawai perubatan tetap.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, ia merupakan antara langkah untuk menjamin masa depan pegawai perubatan kontak selain melihat kepada tempoh kontrak yang diberikan kepada mereka.

“Hadiah Latihan Persekutuan sebelum ini hanya diberikan kepada pegawai perubatan tetap, manakala pegawai perubatan kontrak hanya boleh memohon melalui Program Latihan Kepakaran Parallel Pathway.

“Jadi kita juga mahu memberi kemudahan yang sama kepada pegawai perubatan kontrak agar mereka boleh melanjutkan pendidikan kepakaran di IPTA negara ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Rosnah Aluai (PH-Tangga Batu) yang meminta KKM menyatakan rancangan untuk menjamin masa depan doktor kontrak agar negara tidak mengalami ‘brain drained’ atau penghijrahan cerdik pandai pada masa akan datang.

Khairy berkata, negara ketika ini tidak kekurangan siswazah dalam bidang perubatan sebaliknya kekurangan doktor pakar.

Pada masa ini, terdapat 13,000 doktor pakar berbanding keperluan seramai 28,000 menjelang tahun 2023.

Khairy juga menjelaskan bahawa bermula tahun 2016 terdapat peningkatan mendadak bilangan graduan dalam bidang perubatan, sekitar 5,000 sehingga 6,000 setiap tahun berbanding 3,000 sahaja sekitar tahun 2009 sehingga 2015.

Artikel Berkaitan:

“Ini menyebabkan tekanan tinggi untuk mereka dilantik ke jawatan tetap selepas mereka melengkapkan latihan siswazah dan tempoh khidmat wajib. Sehubungan itu mulai Oktober 2016, diputuskan graduan perubatan ditawarkan jawatan secara kontrak.

“Ia juga disebabkan dasar kawalan saiz perkhidmatan awam dan kawalan perbelanjaan secara berhemah kerajaan, jadi bukan semua akan dilantik secara tetap,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pegawai perubatan kontrak ini diberikan emolumen setara dengan pegawai lantikan tetap, termasuk kemudahan seperti pinjaman kenderaan dan komputer, kuarters serta kemudahan cuti berdasarkan penguatkuasaan sedia ada.

“Kerajaan juga mewujudkan jawatankuasa khas pada 20 Ogos lepas bagi menangani isu doktor kontrak yang fokus kepada beberapa perkara termasuk meneliti dan mengemukakan permohonan bagi jawatan tetap tambahan mengikut keperluan fasiliti, mewujudkan strategi bagi meningkatkan peluang pekerjaan bagi mereka di kementerian lain, agensi kerajaan dan swasta serta mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi meminda Akta Pencen 1980 atau memperkenalkan akta setara,” katanya.

Khairy berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai wakil JPA, Perbendaharaan, Unit Perancangan Ekonomi, Kementerian Pengajian Tinggi dan agensi KKM.

Pada 23 Julai lalu, kerajaan mengumumkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran. - Bernama