Nyahjenayah cubaan bunuh diri akan dibawa ke kabinet

Aaron Ago Dagang
Aaron Ago Dagang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan terhadap Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk tidak mengklasifikasikan cubaan membunuh diri sebagai satu jenayah masih dalam peringkat perbincangan dengan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, berdasarkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan, tindakan cubaan bunuh diri serta bunuh diri merupakan satu kesalahan jenayah dan pelaku boleh dihukum.

Bagaimanapun menurutnya, cadangan pindaan terhadap akta tersebut dijangka akan dibawa ke kabinet untuk menyahjenayah cubaan bunuh diri.

"Ada perbincangan oleh menteri sebelum ini untuk pindaan ini. Ia masih dalam perbincangan dengan peguam negara (Tan Sri Idrus Harun).

"Saya difahamkan ia akan dibawa kepada kabinet untuk nyahjenayah cubaan bunuh diri," katanya ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang bertanya tentang pendirian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah dan adakah KKM berhasrat meneruskan usaha Pakatan Harapan (PH) memastikan cubaan bunuh diri bukan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Aaron Ago memaklumkan kes bunuh diri hanya meningkat sebanyak dua peratus berbanding tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, KKM sentiasa mengambil tindakan proaktif termasuk memastikan Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan sejak 25 Mac 2020 bagi membantu mengurangkan kes bunuh diri.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana kes yang didapati mempunyai kesihatan mental, kita akan rujuk ke hospital, namun setakat ini sebanyak 82 peratus daripada panggilan yang diterima memerlukan khidmat kaunseling.

"Kita juga sasarkan untuk menempatkan seorang pakar psikologi untuk satu daerah bagi mengendalikan kes-kes ini," katanya.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)