KDN tubuh jawatankuasa selesai isu kerakyatan penduduk Sabah, Sarawak

Ismail Mohamed Said
Ismail Mohamed Said
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan satu jawatankuasa khusus untuk menyelesaikan isu penduduk di Sabah dan Sarawak yang belum mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, KDN akan mempertimbangkan untuk memberikan kad pengenalan kepada penduduk terbabit selepas memenuhi kelayakan ditetapkan termasuk sudah lengkap menerima vaksin Covid-19.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Status Warganegara peringkat negeri Sarawak itu akan meneliti urusan dokumentasi bagi individu berumur 21 tahun ke bawah yang tidak berdokumen di negeri itu.

Menurutnya, bagi Sabah pula, ia telah dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS).

"Kita harap kerjasama ini dapat diteruskan bagi memastikan semua individu yang diberitahu oleh Yang Berhormat dapat diberikan identiti mereka. Kita telah tukarkan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan pada tahun 2015 kepada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di mana 'mobile' kita akan turun ke pedalaman.

"Kita juga mengalu-alukan kementerian lain untuk memberikan data," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lukanisma Awang Sauni (GPS-Sibuti) berhubung jangka masa ditetapkan kerajaan untuk memastikan populasi yang belum mempunyai kad pengenalan diri diberikan hak mereka.

Ismail berkata, KDN melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut mengambil inisiatif dan langkah proaktif dalam memastikan urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri individu yang berkelayakan dapat dilaksanakan dengan mudah di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara inisiatif yang diambil adalah dengan melaksanakan program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).

"Program Mekar adalah satu program yang menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah khidmat nasihat berkaitan pendaftaran kad pengenalan, kelahiran dan kematian serta memberikan taklimat berkaitan kepentingan dokumen pengenalan diri," katanya.