Mungkin Zamani tak ingat: Faizal Tahir

No Image Caption
A
A
A

PENYANYI dan komposer Faizal Tahir, berkongsi coretan panjang lebar sekitar 15 tahun lalu pernah satu pentas dengan legenda, Zamani.

Menurut penyanyi Assalamualaikum dan Ragaman itu, peluang untuk bekerja dengan seorang penyanyi yang begitu dihormati, disayangi dan dikagumi ramai memang tidak dapat ditolak.

"Masih jelas dalam ingatan saya lebih kurang 15 tahun yang lepas sewaktu saya bersama kumpulan nasyid Mirwana kami pernah berkongsi pentas dengan Zamani dalam satu persembahan.

"Selesai acara malam tersebut Zamani datang kepada saya dan mengatakan saya ada masa depan yang cerah dalam industri muzik.

"Dia bertanyakan saya sama ada saya mempunyai cita-cita untuk menjadi penyanyi solo kerana dia nampak bakat dan percaya dengan bakat saya," kata Faizal di Instagram.

Tambahnya lagi dalam ucapan sama berkata, tiada sorang pun yang pernah mengatakan begitu dan malah Zamani merupakan orang pertama dan satu-satunya insan yang percaya dengan bakat Faizal.

"Jujurnya saya terkedu dan tak boleh proses kejap lepas dengar kata-katanya. Saya terlalu teruja dan seperti tak percaya dengan apa yang abang Zamani pesan kepada saya waktu itu.

"Dia doakan kejayaan saya yang membuatkan saya begitu terharu. Lebih-lebih lagi waktu itu saya memang tidak pernah rasa yang saya mempunyai bakat untuk berjaya dalam bidang nyanyian. Tidak pernah terlintas langsung untuk ada kerjaya sebagai penyanyi solo.

Artikel Berkaitan:

"15 tahun selepas itu, saya dipertemukan kembali dengan Zamani. Kali ini berbeza dan lebih manis kerana saya dapat menyumbang kepada perjalanan kerjaya seninya," ungkapnya.

Mengakhiri coretan, Faizal berterima kasih dan menzahirkan rasa betapa bertuahnya dia serta team kerana diberi kepercayaan oleh Zamani untuk bertindak sebagai komposer lagu terbaharu Zamani berjudul, Aduh.

"Tiada apa yang dapat saya ucapkan melainkan terima kasih tak terhingga kepada abang Zamani kerana percaya dengan saya dan team saya di @faithfulmusicmy.

"Alhamdulillah kerana diberi peluang dan rezeki untuk bekerjasama dengan seorang lagenda yang terlalu merendah diri dan pemurah serta disayangi ramai dan juga memainkan peranan penting dalam hidup dan kerjaya saya.

"Mungkin dia juga sudah tidak ingat pertemuan dengan saya 15 tahun lepas. Namun ia tetap dalam ingatan saya sampai ke hari ini. Terima kasih abang," akhirinya.