PBB gesa bantuan AS$1.2 bilion untuk Afghanistan dipercepat

PBB gesa negara yang berikar menyumbang dana AS$1.2 bilion ke Afghanistan akan segera berbuat demikian bagi menjamin keperluan makanan, kesihatan dan perlindungan rakyat.
PBB gesa negara yang berikar menyumbang dana AS$1.2 bilion ke Afghanistan akan segera berbuat demikian bagi menjamin keperluan makanan, kesihatan dan perlindungan rakyat.
A
A
A

NEW YORK - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menggesa negara yang berikar menyumbang dana AS$1.2 bilion ke Afghanistan akan segera berbuat demikian bagi menjamin keperluan makanan, kesihatan dan perlindungan rakyat, lapor Xinhua.

Ketua jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, bantuan kemanusiaan dan pembangunan itu diumumkan dalam satu persidangan peringkat tinggi di Geneva, dipengerusikan Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres pada Isnin.

"PBB dan pertubuhan kemanusiaan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan peringkat kebangsaan dan antarabangsa dapat bergerak dengan cepat sekiranya dana disalurkan lebih awal bagi tujuan kesihatan dan perlindungan rakyat Afghanistan," kata Dujarric.

Sementara itu, organisasi dunia dan pertubuhan kemanusiaan terus menyalurkan bantuan kepada berjuta rakyat yang memerlukan, termasuk beberapa misi bantuan berjaya dilakukan dari Mazar-i-Sharif ke Maimana dan dari Kabul ke Jalalabad, katanya.

Konvoi kemanusiaan Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) turut berjaya sampai di Nangarhar, menurut jurucakap itu.

"Ini adalah konvoi kedua yang membawa barang keperluan asasi memasuki Afghanistan melalui Torkham Border Crossing sejak 15 Ogos,” katanya.

Beliau berkata,program Makanan Dunia (WFP) turut meneruskan bantuan makanan bermusim untuk tempoh sebulan buat keluarga yang memerlukan.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB (FAO) turut meminta bantuan segera demi menyelamatkan hasil pertanian Afghanistan dan kelangsungan haiwan ternakan, termasuk mengelakkan krisis kemanusiaan semakin parah.

Artikel Berkaitan:

Dana tersebut bagi memastikan petani dapat menanam gandum pada musim sejuk akan datang dan membantu 3.5 juta penduduk Afghanistan yang bergantung dengan sektor pertanian, untuk tempoh sehingga akhir tahun ini. - Bernama