Lebih 50 peratus orang asli divaksin

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar memaklumkan lebih 50 peratus daripada 144,180 masyarakat orang asli menerima suntikan vaksin Covid-19 sehingga kini.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, seramai 82,555 orang asli telah divaksin hasil program vaksinasi yang dilaksanakan secara bergerak ke komuniti berkenaan.

Menurutnya, melalui pendekatan vaksinasi bergerak, trend vaksinasi terhadap masyarakat orang asli kini menunjukkan peningkatan setiap hari.

"Kementerian dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) melaksanakan langkah memastikan orang asli tidak tercicir daripada melaksanakan kempen kesedaran secara bergerak kampung ke kampung dan rumah ke rumah mengenai jangkitan Covid-19 dan kefahaman tentang vaksin Covid-19.

"Kita juga mengoptimumkan peranan agensi-agensi kerajaan bagi membantu menyelesaikan isu vaksinasi untuk masyarakat orang asli di pedalaman antaranya dengan penggunaan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya ketika Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ramli Mohd Nor (BN- Cameron Highlands) yang mahu Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan apakah langkah yang dilakukan oleh pihak kementerian bagi memastikan masyarakat orang asli tidak tercicir daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pada masa sama, ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Hasan Bahrom (PH-Tampin), beliau berkata, usaha memastikan vaksinasi untuk orang asli mencapai 100 peratus adalah bergantung penuh kepada bekalan vaksin Covid-19.

"Usaha pemberian vaksin untuk masyarakat orang asli ini tidak menjadi masalah dan halangan kerana mereka semua sudah setuju, tetapi kebergantungan vaksin adalah daripada kita untuk bantu beri mereka suntikan.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap perkara ini diberi perhatian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar kita dapat capai 100 peratus kadar vaksinasi untuk orang asli," katanya.