Senario Olimpik, Paralimpik jauh berbeza

 Dr Pekan Ramli (Laporan Sukan Sinar baru-baru ini.)
Dr Pekan Ramli (Laporan Sukan Sinar baru-baru ini.)
A
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) berhak memohon tambahan peruntukan berikutan pencapaian dipamerkan kontinjen Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Namun, penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli berkata, hasrat MPM untuk mendapatkan peruntukan sama rata untuk atlet Paralimpik cemerlang berdasarkan merit sama seperti atlet normal Olimpik adalah kurang wajar.

“Dalam konteks pembangunan sukan di Malaysia ini, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sebenarnya telah pun memberikan layanan yang sangat baik.

“Malah juga layanan saksama kepada atlet Paralimpik negara seperti juga atlet normal Olimpik baik dari segi kemudahan latihan dan ganjaran.

“Saya tidak mengenepikan hasrat MPM untuk mendapatkan peruntukan tambahan untuk program atau latihan persediaan atletnya meraih pingat di Paralimpik, sekiranya wujud keperluan untuk tujuan tersebut.

“Cuma kadang-kadang kita jangan terlebih sehingga melupakan keutamaan bahawa Olympics is Olympics, Paralympics is Paralympics kerana Paralimpik kini merupakan sebahagian daripada Olimpik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

MPM sebelum ini berharap KBS dan MSN dapat mempertimbangkan peruntukan sama rata kepada atlet Paralimpik selepas pencapaian cemerlang pada Sukan Paralimpik Tokyo yang berakhir baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: MPM harap peruntukan sama rata

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak boleh menyamakan pencapaian pada Olimpik dengan Paralimpik kerana senario Olimpik dan Paralimpik ini jauh berbeza umpama epal dan limau.

“Ini berdasarkan kepada prestij dan tahap kesukaran untuk mendapatkan pingat emas. Apabila kita meletakkan sasaran emas Paralimpik, ia lebih realistik untuk dicapai berbanding potensi meraih pingat emas Olimpik,” ujar Pekan.

Beliau menambah, keutamaan agenda sukan negara pada masa kini adalah untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik dan fokus seharusnya diberikan dalam merealisasikan misi tersebut.

“Contohnya, jika peruntukan untuk mendapatkan kilauan emas di Olimpik adalah RM30 juta, peruntukan untuk Paralimpik tidak semestinya juga RM30 juta.

“Namun, ganjaran atau imbuhan untuk setiap pingat dimenangi pada Olimpik dan Paralimpik adalah sama. Satu pingat emas Olimpik bernilai RM1 juta, satu pingat emas Paralimpik juga bernilai RM1 juta.

“Tetapi dalam konteks sukan paling berprestij, harus diingat dan difahami bahawa nilai pingat Olimpik sebenarnya jauh lebih bernilai berbanding pingat Paralimpik, itu hakikat yang perlu kita terima,” jelasnya.