10 individu didakwa palsukan sijil suntikan vaksin

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai 10 individu telah dituduh di mahkamah di seluruh negara atas kesalahan memalsukan sijil suntikan vaksin.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah itu seorang telah didapati bersalah oleh mahkamah di Sawarak dan dihukum penjara.

"Untuk makluman Yang Berhormat, jumlah yang telah kita tuduh adalah sejumlah 10 orang dan yang kita dapati bersalah adalah seorang.

"Mengikut pecahan negeri pula ialah empat orang di Sarawak, Melaka (dua) dan Sabah (dua), Kelantan dan Perak masing-masing seorang," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (Pas-Setiu) berhubung jumlah individu yang telah diambil tindakan atas kesalahan tersebut.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan lisan Shaharizukirnain mengenai tindakan yang akan diambil ke atas golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin, Ismail berkata, tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang.

"Bersabit dengan tindakan yang akan dikenakan ke atas golongan yang memalsukan sijil suntikan vaksin, langkah-langkah bagi mengatasi perkara ini serta tindakan undang-undang atas kesalahan tersebut boleh diambil di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Tindakan kompaun boleh dikenakan dengan serta-merta sekiranya mereka didapati bersalah bagi menjimatkan masa dan meningkatkan kesedaran masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pada masa yang sama, siasatan lanjut boleh dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada iaitu sama ada di bawah Akta 342 atau Kanun Keseksaan.